KOTA KINABALU: Lebih 300 orang pelajar Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sekitar sini menyertai Program Wacana Kefahaman Malaysia Madani di kampus University College Sabah Foundation (UCSF), Sembulan pada Isnin.
Program dianjurkan Badan Kebajikan Islam Kumpulan Yayasan Sabah dan YADIM dengan kerjasama UCSF dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Dr. Zulkifli Hassan dalam ucapannya memberi pencerahan berkenaan Malaysia Madani dan menerangkan kedudukan Malaysia pada ketika ini selain aspirasi negara dalam mendepani pelbagai cabaran dalam negeri dan global.
Beliau juga menekankan Malaysia Madani adalah gagasan pemikiran yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim yang perlu didokong bersama oleh rakyat negara ini.
Sementara itu, Ketua Penyelaras Zon Pentadbiran Kumpulan Yayasan Sabah Zulkhairi Ismail berkata, pendekatan bersifat “discourse” seumpama yang terlaksana melalui penganjuran program ini mendekatkan secara langsung mahasiswa kepada kaedah mengurus selia negara bangsa dengan konsep madani secara “realtime”.
“Melalui pencerahan yang dikongsikan oleh Zulkifli membuka ruang baharu dalam penglibatan mahasiswa selain pengkuliahan formal dalam kelas,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Canselor UCSF, Datuk Dr Rafiq Idris berkata, Zulkifli memberi penerangan yang jelas mengenai Malaysia Madani dan bagaimana Malaysia Madani memberi impak kepada ekonomi, masyarakat serta pentadbiran negara.
“Saya percaya, Malaysia Madani berupaya mewujudkan ekonomi dan masyarakat yang sejahtera, inklusif, berkebajikan serta kerajaan dengan tatakelola yang mantap sekiranya dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Hadir sama Pengarah YADIM Sabah, Mohd Tabi’in Sahri, Pengarah YAPEIM, Wakil BAKIYS, Salim Japaran dan pemimpin serta ahli pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). – Utusan Borneo