Lebih 300 orang sertai larian solidariti kepada rakyat Palestin di Lahad Datu

Larian-Palestin-Lahad-Datu.jpg
Kongsi Bersama

LAHAD DATU : Cuaca panas tidak menghalang orang ramai untuk berhimpun bagi menzahirkan sokongan dan solidariti kepada rakyat Palestin pada Isnin dalam program Larian Solidariti Palestin.

Lebih 300 orang menyertai larian itu yang dianjurkan oleh Kelab Komuniti Prihatin Lahad Datu dengan kerjasama Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Lahad Datu.

Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Bendahari Wanita UMNO Malaysia Datin Maizatul Akmam Alawi yang turut dihadiri oleh Ketua Wanita bahagian Lahad Datu Siti Royani Rafael dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Lahad Datu Dato’ Sri Dr Anil Sandhu.

Berucap merasmikan program tersebut, Maizatul yang juga Naib Ketua UMNO bahagian Lahad Datuk berkata rakyat Malaysia cukup bersimpati pada nasib yang menimpa rakyat Palestin.

Katanya, sejak dahulu Malaysia sentiasa berdiri bersama mereka dan mengetahui secara jelas penderitaan dan perjuangan mereka mempertahankan tanah air sendiri.

Malah, tambah beliau dunia juga dapat melihat bagaimana Malaysia menyokong Palestin dan mengutuk kekerasan dilakukan Israel.

“Pelbagai sokongan kita berikan misalnya, terdapat banyak badan sukarelawan kemanusiaan yang mengumpul dana bagi membantu masyarakat Palestin. Ada juga usaha digerakkan pelbagai organisasi perniagaan atau individu termasuk pempengaruh, malah selebriti tanah air,” katanya.

Katanya lagi, mereka menggunakan kepakaran masing-masing untuk membantu penduduk Palestin. Paling tidak, ada yang melancarkan tabung sumbangan dan pelbagai lagi usaha, sanggup menawarkan diri untuk ke Gaza bagi menjalankan misi kemanusiaan.

“Selain itu rakyat Malaysia juga turut mengadakan perhimpunan aman bagi membantah kekejaman Israel termasuk program seperti Larian solidariti Palestin ini bagi memberikan sokongan moral kepada penduduk Palestin,” katanya.

Maizatul berkata, segala usaha yang dilakukan kerajaan, organisasi perniagaan kerajaan atau swasta, badan kemanusiaan, masjid, surau dan individu bagi menunjukkan solidariti ini adalah manifestasi kerbersamaan mendukung perjuangan rakyat Palestin dalam membebaskan tanah air mereka, khususnya Masjid Al-Aqsa di bumi Al-Quds yang juga tanah suci umat Islam sedunia.

“Dalam keadaan sekarang kita perlu teguhkan kesatuan umat Islam menentang kezaliman Israel. Bersatu hati untuk berjuang bersama rakyat Palestin walaupun kita berpijak di tanah berbeza, namun tetap mempunyai tujuan menekan Israel supaya berhenti merampas tanah dan membina penempatan haram Yahudi serta membebaskan tahanan Palestin,” kata Maizatul. – Jesselton Times

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top