KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bukan sahaja merupakan sebuah agensi berorientasi perhidmatan asas semata-mata tetapi juga aktif di dalam menyumbang usaha kepada kemajuan industri landskap dan pertanian serta industri pelancongan.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perindustrian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata demikian dalam acara Pameran Aroid dan Orkid sempena sambutan Ulang Ke-23 Bandaraya Kota Kinabalu, di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu, semalam.
Turut bersama ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip dan Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie.
‘Warna Warni Nusantara’ merupakan tema yang dibawa oleh DBKK mempamerkan pelbagai spesies pokok antaranya adalah Pink Princess, Ring of Fire, Crystal Hope, Hastatum, Thai Sunrise, Tatantula Sulawesi, Wave of Love, Red Weduri, Stardust, Red Barret, Pharoah Mask, Peru, dan Nancy Revenge.
Menurut Jeffrey ramai yang tidak tahu bahawa kepulauan Borneo termasuklah negeri Sabah kaya dengan kepelbagaian sumber biodiversiti.
“Berdasarkan data daripada Jabatan Perhutanan Sabah, dianggarkan lebih 1.000 spesies Aroid (keladi) yang mana 114 spesies boleh didapati di Sabah dan 50 spesies daripadanya hanya boleh didapati (endemic) di Negeri Sabah, contohnya Alocasia Melo dan Alocasia Wongii.
“Manakala untuk orkid pula terdapat sekitar 1,300 spesies di Sabah, yang mana 250 adalah merupakan sepsis endemic,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran acara serupa itu tepat pada masa dan tempatnya, selaras dengan objektif penganjuran iaitu memperkenalkan dan mempamerkan kepelbagaian spesies aroid dan orkid di Sabah mahupun kepulauan nusantara yang amat jarang dapat dilihat.
“Di sinilah ruang untuk para pengkaji dan peminat aroid dan orkid, berkumpul, berkongsi minat dan pendapat dalam meneroka potensi industri aroid dan orkid,” katanya.
Penganjuran tersebut dapat mengeratkan lagi jalinan kerjasama antara pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pengusaha-pengusaha landskap dalam industri.
Sebanyak tujuh agensi iaitu Jabatan Pertanian Sabah (Tenom), Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Taman-taman Sabah, MARDI, Universiti Malaysia Sabah, dan Sabah Biodiversity Centre terlibat dengan pameran manakala seramai 19 penjual terdiri daripada pengusaha landskap dan penjual alat pertanian sekitar Sabah terlibat bagi menjayakan acara itu.
Jeffrey berharap pameran dan penjualan aroid dan orkid yang dianjurkan oleh DBKK dengan kerjasama pelbagai pihak termasuklah jaringan Love KK, agensi-agensi kerajaan, pihak swasta, institute pengajian tinggi dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan mencapai objektifnya, dan akan membantu DBKK untuk mencapai misi dan visinya iaitu menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya yang bersih, hijau dan berdaya huni ke arah Kota Kinabalu sejahtera.
“Marilah kita sama-sama menyokong usaha untuk membangunkan industri landskap dan ekologi alam kita, untuk menfaat kita, anak-anak kita dan untuk manfaat generasi akan datang seperti yang dinyatakan dalam matlamat Sustainable Development Goals (SDG),” katanya.
Berita asal: Sabahnews.com.my