Lebih 200 Sertai Seminar Bahasa, Budaya Etnik Malaysia

jahid.jpeg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Lebih 200 peserta mengambil bahagian dalam Seminar Bahasa dan Kebudayaan Etnik Malaysia (Sebem) 2021.

Seminar atas talian selama dua hari yang bermula pada Khamis itu, dianjurkan bersama oleh Institut Pendidikan Guru Kent, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kolej Sidma Sabah.

Bertemakan “Melestarikan Bahasa Etnik Era Baharu”, program itu menampilkan 28 kertas penyelidikan pelbagai disiplin, tiga pembentangan khas dan dua speaker utama

Memuji usaha penganjur, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata, seminar itu sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri yang sentiasa mendukung pembangunan warisan etnik, khususnya yang membabitkan kelestarian bahasa dan kebudayaan etnik Sabah.

“Kerajaan Negeri sangat menyokong inisiatif pemerkasaan bahasa etnik oleh mana-mana institusi, organisasi atau aktivis,” kata Jahid yang juga Naib Presiden KDCA ketika merasmikan program berkenaan.

“Saya juga yakin perlindungan pendidikan bahasa etnik di Malaysia dapat dicapai melalui perkongsian penemuan nilai tambah dalam seminar ini.”

Pengarah Institut Pendidikan Guru Kent, Dr Rosmawati Hamzah berkata, ekonomi perlu berkembang selari dengan pengukuhan identiti masyarakat.

“Oleh itu, diharapkan penemuan baharu berkaitan bahasa dan kebudayaan etnik dalam seminar ini boleh mewujudkan kesedaran dalam kalangan generasi muda agar mereka akan melindungi identiti mereka,” katanya.

Mengenai impak penyelidikan, Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Lai Yew Meng berkata, penyelidikan perlu menjadi sumber rujukan dan asas bagi usaha berterusan dalam pembangunan negara.

“Cabaran kita sebagai ahli akademik dan penyelidik budaya ialah mengenai bagaimana dan sejauh mana usaha kita mampu memberikan manfaat kepada masyarakat kita dan membawa kepada pengukuhan, relevan dan kelestarian dalam kebudayaan, bahasa dan pemikiran.

“Sebab itulah kita mesti sentiasa melakukan refleksi kendiri agar semua tindakan dan usaha kita sebagai penyelidik akan menjadi lebih bermakna.”

Pengerusi Kolej Sidma Sabah Prof (Adj) Dr Morni Kambrie berkata institusi itu aktif dalam memperkasa bahasa Kadazandusun di Sabah, khususnya dengan penubuhan Kelab Bahasa Kadazandusun.

“Antara aktiviti kelab ini adalah menerbitkan buku antologi cerita pendek pada 2016.

“Selain itu, terdapat juga beberapa bengkel, seminar dan program berkaitan pembangunan bahasa Kadazandusun, seperti pertandingan pidato dan pertandingan koir, antara lain,” katanya.

Turut hadir semasa majlis pelancaran itu adalah Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Dr Mistrine Radin. –WO/DE

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top