Lebih 200 kontinjen bakal sertai Sambutan Hari Kebangsaan di Sabah

merdeka-sabah.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Lebih 200 kontinjen terdiri daripada badan beruniform, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) Sabah bakal menyertai perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sabah pada 31 Ogos ini.

Setiausaha Jawatankuasa Induk Urusetia Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sabah Datuk Mohd Sofian Alfian Nair berkata sambutan kali ini akan diadakan di Jalan Tun Fuad Stephen berbanding sebelum ini di Padang Merdeka di sini.

Beliau berkata lebih 5,000 pengunjung dijangka hadir menyaksikan sambutan itu yang antara lain akan menampilkan acara seperti terbang lintas aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bakal menggegarkan ruang udara Kota Kinabalu.

“Pelbagai acara telah disusun dan dirancang untuk orang ramai yang bersama meraikan Hari Kebangsaan nanti, justeru kita mengalu-alukan seluruh rakyat Sabah terutama yang tinggal di Kota Kinabalu untuk hadir sama meraikan dan memeriahkan sambutan ini,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sofian yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, berkata pelbagai program dan aktiviti telah disusun sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan termasuk Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah pada 1 Ogos ini.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah itu bakal diadakan di Perkarangan Bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan akan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Pada majlis sama, Hajiji juga dijadual melancarkan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 Sabah yang bakal menjelajah 65 lokasi di Negeri di Bawah Bayu itu, selain ke Lawas, Sarawak pada 13 Ogos, sebelum menamatkan kembara pada 20 Ogos di Kota Kinabalu. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top