TAWAU: Lebih 1,000 golongan miskin tegar yang direkodkan di daerah ini akan diberikan perhatian sewajarnya supaya mereka dapat keluar daripada kepompong garis kemiskinan dalam masa terdekat.
Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui berkata, pihaknya yakin kerajaan mampu mengatasi masalah miskin tegar menerusi dasar-dasar yang sedang dilaksanakan sepanjang tahun ini.
Katanya, banyak usaha dan langkah-langkah sedang dirancang oleh Kerajaan Madani khususnya dalam membantu rakyat yang dikategorikan miskin tegar.
“Saya telah menerima maklumat bahawa lebih 1,000 golongan miskin tegar yang tinggal di kawasan Parlimen Tawau dan memerlukan bantuan daripada kerajaan ketika ini.
“Justeru, saya yakin ia akan dapat diatasi secepat mungkin kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah menyatakan keseriusannya untuk mengatasi masalah rakyat di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Selangkah Ke Menara Gading 2023 (SEMEGA’23) anjuran Pejabat Parlimen Tawau, di sini semalam.
Lo berkata, pihaknya juga sudah diberikan arahan oleh kerajaan supaya mengambil langkah bagi mengatasi masalah ini.
“Saya akan memastikan semua penduduk yang dikategorikan miskin tegar dapat dibantu dan usaha berterusan dilakukan bagi menoktahkan masalah ini di kawasan Parlimen Tawau,” katanya.
Dalam pada itu, Lo menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor kerana memberikan perhatian terhadap masalah infrastruktur di Tawau.
Katanya, banyak masalah infrastruktur sudah dapat diatasi terutamanya berkenaan isu jalan raya, air dan elektrik.
“Saya sebagai wakil rakyat di Parlimen Tawau sudah mendapat maklumat mengenai peruntukan infrastruktur di daerah ini dan ia akan menunjukkan tanda positif tidak lama lagi,” katanya.
Mengulas mengenai program SEMEGA’23 pula, katanya, inisiatif penganjur adalah sangat baik dan memberikan banyak manfaat kepada pelajar di daerah ini yang mahu melanjutkan pengajian.
Katanya, program ini dapat memberikan pelajar garis panduan dan maklumat lengkap terhadap institusi pengajian tinggi yang terdapat di seluruh negara.
“Kita akan meneruskan lagi program ini pada masa hadapan dengan skala yang lebih besar serta melibatkan banyak institusi awam dan swasta.
“Saya berharap semua pelajar terutamanya calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dapat memanfaatkan program ini,” katanya. – Utusan Borneo