Lebih 100 maut dalam letupan di kubur komander Soleimani

letupan-Iran.jpg

Foto: EPA-Yonhap

Kongsi Bersama

DUBAI: Dua letupan mengorbankan hampir 100 orang dan mencederakan ratusan yang lain pada satu majlis semalam, bagi memperingati komander Qassem Soleimani yang terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat (AS) pada 2020 di Iran, menurut pihak berkuasa Iran.

Mereka mendakwa ia tindakan ‘pengganas’, namun perincian pihak mana bertanggungjawab tidak dinyatakan.

Televisyen Iran melaporkan letupan pertama, diikuti yang kedua selepas 20 minit, berlaku ketika acara ulang tahun keempat itu berlangsung di tanah perkuburan tempat Soleimani dikebumikan di bandar tenggara Kerman.

Tiada siapa yang mengaku bertanggungjawab atas letupan itu.

Seorang pegawai kanan pentadbiran Joe Biden di Washington berkata, letupan itu kelihatan seperti ‘serangan pengganas’, yang pernah dilakukan oleh militan Negara Islam sebelum ini.

Presiden Iran, Ebrahim Raisi mengutuk tindakan jenayah keji dan tidak berperikemanusiaan itu, sementara pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Khamenei berikrar membalas dendam atas pengeboman berdarah itu.

“Penjenayah kejam. Mereka akan ditangani dengan tegas mulai sekarang dan sudah pasti akan ada tindak balas yang keras,” kata Khamenei dalam satu kenyataan, menurut media kerajaan.

Beberapa negara, termasuk Russia dan Turki, mengutuk serangan itu, sementara Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa mereka yang terbabit, bertanggungjawab.

Menteri Kesihatan Iran, Bahram Eynollahi memberitahu angka kematian ialah 95 orang, turun daripada 103 orang, sementara 211 yang lain cedera.

Iran sebelum ini menyalahkan Israel atas serangan ke atas individu atau ke kawasannya, dakwaan yang tidak disahkan atau dinafikan Israel, namun tiada tanda-tanda pembabitan negara asing dalam letupan terbaru di tanah perkuburan itu.

Jurucakap Keselamatan Negara AS, John Kirby berkata, AS tidak melihat sebarang petunjuk bahawa Israel berada di sebalik letupan itu.

Seorang pegawai tidak dinamakan memberitahu agensi berita IRNA bahawa dua bahan letupan ditanam di sepanjang jalan menuju ke Tanah Perkuburan Kerman dan diletupkan dari jauh oleh pengganas.

Video disiarkan media negara Iran pula menunjukkan berpuluh-puluh mayat berlumuran darah, berselerak dengan beberapa individu cuba membantu mangsa terselamat, sementara yang lain pula bergegas meninggalkan kawasan letupan.

“Saya mendengar bunyi sangat kuat dan rasa sakit di belakang. Kemudian saya tidak dapat merasakan kaki saya,” kata seorang wanita yang cedera di hospital Kerman kepada televisyen kerajaan.

Pasukan penyelamat Bulan Sabit Merah Iran bergegas menyelamatkan mereka yang cedera pada majlis itu, di mana ratusan rakyat Iran berkumpul untuk memperingati ulang tahun pembunuhan Soleimani.

Beberapa agensi berita Iran turut memaklumkan jumlah mangsa yang cedera juga jauh lebih tinggi.

“Bunyi yang dahsyat kedengaran di sana, biarpun semua langkah keselamatan sudah diambil. Perkara itu masih dalam siasatan,” kata Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Kerman, Reza Fallah kepada televisyen kerajaan. – REUTERS

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top