Lebih 100 bangunan dan 20 kenderaan rosak akibat angin kencang di Semporna

ribut-semporna.jpg
Kongsi Bersama

SEMPORNA: Angin kencang awal pagi semalam telah menyebabkan kerosakan besar di beberapa perkampungan atas air di Semporna, termasuk Kampung Selamat, Kampung Seri Aman, Kampung Sejati, dan Kampung Batu.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, kejadian tersebut memusnahkan 112 rumah, 20 kenderaan, sebuah masjid, dan sebuah surau.

Sebuah Pusat Pembangunan Kemanusiaan Kanak-Kanak juga dilaporkan terjejas.

Pasukan bomba yang terdiri daripada 14 anggota dari BBP Semporna dan BBP Atas Air Semporna tiba di lokasi pada jam 6:28 pagi, hanya tujuh minit selepas panggilan diterima melalui talian kecemasan MERS999.

Operasi pemantauan dan penyelamatan diteruskan sehingga jam 4:37 petang.

Komander Operasi Kanan, PPgB Madzlan Sarman, memaklumkan bahawa tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

Bagaimanapun, kejadian itu turut menyebabkan litar pintas dan beberapa kabel elektrik putus. Penduduk telah diarahkan berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

Pihak bomba dengan kerjasama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kini giat memantau kawasan yang terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk.

Orang ramai diminta terus berwaspada terhadap cuaca buruk dan mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa. – Nabalu News

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top