Lebih 10 Ekar Tanah Sawit Kinabalu Diwartakan Sebagai Rizab Kampung Di Lumadan

haji-ruslan.jpg

Ruslan dan Bacho merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian penduduk yang terlibat dalam majlis penyerahan tanah itu. (Kredit foto: FB DHRM)

Kongsi Bersama

LUMADAN: Setelah hampir dua tahun menanti status tanah yang didiami 17 buah rumah di tanah milik Sawit Kinabalu di Kampung Karangan dekat Lumadan, akhirnya mendapat khabar yang menggembirakan.

17 Ketua Isi Rumah (KIR) hari ini menyaksikan acara penyerahan tanah dalam bentuk lot yang disempurnakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam bersama Pengarah Operasi Sawit Kinabalu, Datuk Bacho Jansie.

Keresahan penduduk yang terlibat mengenai isu tanah yang didiami mereka lebih 38 tahun kini dapat menarik nafas lega setelah tanah itu diserahkan Sawit Kinabalu kepada Pejabat Daerah Beaufort untuk diwartakan sebagai rizab perkampungan.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, usaha yang disaksikan hari ini merupakan hasil keprihatinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang mengambil berat tentang isu rakyat di akar umbi terutama masyarakat kampung, dalam memastikan kebajikan rakyat menjadi keutamaan kerajaan hari ini.

Beliau turut memuji usaha pihak Sawit Kinabalu yang diterajui Bacho kerana turut mengambil berat terhadap perkara itu bukan sahaja dari aspek kesejahteraan sejagat tetapi juga memastikan kelancaran operasi syarikat dalam jangka masa panjang.

“Syukur kerajaan yang ada pada hari ini yang dipimpin Hajiji mengambil pendekatan untuk menyelesaikan isu rakyat selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ). Ini menunjukkan Ketua Menteri seorang yang prihatin dan peduli terhadap masalah rakyat.

“Pada majlis penyerahan lot tanah ini kepada penduduk yang terlibat, saya percaya ianya hadiah ‘Hari Raya’ yang cukup bermakna buat 17 KIR yang sebelum ini bimbang dengan situasi isu tanah yang diduduki mereka lebih tiga dekad, ” kata Ruslan ketika ditemui pemberita.

Hadir sama Pegawai Daerah Beaufort, Nazri Ajun; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lumadan, Diuslin Alin @ Agustine, Wakil Ketua Anak Negeri Lumadan, Salleh Lasim dan Ketua Kampung Kg Karangan, Dagang Kuncang.

Dalam pada itu, Bacho ketika ditemui memberitahu bagi kawasan Lumadan, tanah seluas lebih 10 ekar milik Sawit Kinabalu akan diserahkan kepada Pejabat Daerah Beaufort untuk diwarta sebagai rizab kampung untuk penduduk di Kampung Karangan.

Isu tanah serupa yang berlaku di Pitas dengan keluasan tanah 331 ekar dan Kota Marudu sekitar 130 ekar lebih serta Semporna dalam 200 ekar lebih, turut diselesaikan melalui pendekatan sama hasil keprihatinan kerajaan.

Bacho menjelaskan usaha itu akan memudahkan pengurusan Sawit Kinabalu dalam memperolehi pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) dan SPO setelah isu-isu tanah diselesaikan.

Pada majlis itu, selain penyerahan tanah kepada penduduk kampung, Sawit Kinabalu turut menyerahkan sumbangan kepada 32 buah masjid dan 36 buah surau dalam kawasan Lumadan berjumlah RM50,000 serta kebenaran mendirikan Dewan Komuniti dan Gerai di Kampung Meraba yang membabitkan tanah seluas 3.63 ekar. – UTUSAN BORNEO

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top