KOTA KINABALU: Langkah melebarkan sayap Parti Warisan (Warisan) ke Semenanjung Malaysia bukan satu keputusan yang terburu-buru.
Ketua Penerangan Warisan, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari berkata, keputusan itu diambil setelah beberapa kali perkara itu dibincangkan di peringkat kepimpinan dan majlis tertinggi.
Malah, tiada seorang pun menentang dalam mesyuarat berkenaan.
Beliau berkata, Warisan konsisten dan tegas dalam mempertahan kepentingan Wilayah Sabah dan Sarawak.
Walaupun Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikembalikan melalui keputusan melebihi 2/3, parti Warisan mahu memastikan MA63 dilaksanakan sepenuhnya agar pengagihan hasil dapat dilaksanakan mengikut perjanjian mahupun pembahagian secara berperingkat.
Dalam menghadapi perjuangan ini, Parti Warisan akan terus bertahan dan membawa rakyat Sabah untuk terus memahami perjuangan ini.
“Setakat ini, rakyat di peringkat akar umbi memberi sokongan yang kuat dan tetap menyokong parti Warisan dan berkerja keras untuk memastikan Warisan kekal relevan dan berjaya dalam pilihan raya akan datang.
“Parti Warisan mendapat sambutan yang menggalakkan dan rakyat di Semenanjung sudah ramai yang mula bosan dengan sebahagian parti di Semenanjung dan memohon agar parti Warisan berkembang ke Semenanjung dan mahu bersama-sama Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dilihat mereka sebagai pemimpin alternatif yang berpotensi.
“Apa pun, ini bukanlah agenda mahu menjadi Perdana Menteri tetapi, sebagai satu usaha untuk memastikan rakan di Semenanjung mempunyai keyakinan politik yang sama dengan rakyat di Sabah dan Sarawak.
“Kalau kita keluar menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sama juga kita menyokong UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Kedua-dua parti ini adalah parti yang berpusat di Semenanjung. Tak kan mereka boleh masuk Sabah, parti Warisan tak boleh ke Semenanjung,” jelasnya.
Jelas beliau, bukan bererti Warisan ke Semenanjung maka, mereka akan bertanding di semua kawasan Parlimen. Warisan hanya akan bertanding di kerusi yang terpilih. – Borneo Today