KOTA KINABALU: Kepimpinan Parti LDP telah melantik Kemelia Hasan sebagai Ketua Perhubungan LDP (Bumiputera) Pantai Timur Sabah.
Selain itu, Majlis Tertinggi Pusat LDP juga sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan sayap baharu berkenaan.
Kemelia dalam pada itu menyambut baik usaha berkenaan yang mana kini Sayap baharu itu khusus untuk disertai belia berumur diantara 18 tahun sehingga 28 tahun.
“Penyertaan Sayap Bumiputera golongan muda akan mewujudkan suasana politik yang lebih dinamik dan sejahtera.
“Ia juga boleh membantu menjayakan dasar dan strategik dasar baharu untuk kebaikan golongan belia, parti dan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, penubuhan baharu itu juga membolehkan belia melibatkan diri dalam program kemasyarakatan.
“Kita juga harus mendengar luahan hati belia, dengan pendedahan pelbagai aktiviti sosial (tidak semestinya politik), kita sebenarnya memberi ruang dan peluang kepada golongan belia untuk terbabit dalam merancang aktiviti dengan masyarakat,” katanya. – Utusan Borneo