KOTA KINABALU: Presiden Kehormat Seumur Hidup Parti Liberal Demokratik (LDP) Tan Sri Chong Kah Kiat akan bertanding di Inanam, di mana PBS mencalonkan Datuk William Majimbon sebagai calonnya.
Seorang lagi calon yang dinamakan bertanding di DUN Inanam ialah muka baharu dari PKR – Peto Galim.
Sementara itu Presiden LDP, Datuk Chin Shu Phin akan berdepan dengan Ketua PKR Sabah Datuk Christina Liew dan calon PBS Datuk Dr Yee Moh Chai di DUN Api-Api. Sama seperti di Inanam, dijangka akan ada lagi calon dari parti-parti lain akan turut bertanding di DUN Api-Api.
Chin dalam satu kenyataan berkata LDP akan bertanding di 46 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.
Selain Inanam dan Api-api, DUN lain yang akan ditandingi parti itu ialah Kadamaian, Pantai Dalit, Tamparuli, Kiulu, Karambunai, Darau dan Likas.
“Selain itu, LDP juga akan bertanding di Luyang, Tanjung Aru, Petagas, Tanjung Keramat, Kapayan, Moyog, Limbahau, Kawang, Pantai Manis, Bongawan, Kuala Penyu.
“Sindumin, Kundasang, Paginatan, Bingkor, Liawan, Melalap, Kemabong, Tulid, Sook, Telupid, Sugut, Gum-Gum, Sungai Manila, Sungai Sibuga, Sekong, Karamunting, Elopura, Tanjung Papat, Segama, Kunak, Balung, Sri Tanjong dan Merotai,” katanya.
Chin tidak menafikan terdapatnya kawasan DUN yang akan bertanding sehingga sembilan penjuru dengan kesemua parti-parti yang ada di Sabah.
Menurutnya, semua DUN yang akan ditandingi LDP adalah kawasan terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat memandangkan parti itu kini diwakili berbilang kaum.
“LDP tidak mempunyai masalah untuk bertanding di kawasan Bumiputera Islam atau bukan Islam,” katanya.