LDP Minta Muhyiddin Diberi Peluang Pimpin Negara Sehingga Habis Penggal

chin.jpeg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin menyeru semua pihak sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang supaya memberi peluang kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk kekal sehingga habis penggal pada 2023.

Kata beliau, semua parti politik seharusnya tidak terus berlumba-lumba memburu kuasa, sebaliknya perlu mengetepikan perbezaan dan fokus memerangi wabak Covid-19 yang memberi cabaran besar kepada negara ketika ini.

Beliau berkata, sejak lebih setahun lalu, Muhyiddin bukan sahaja terpaksa menangani wabak Covid-19 yang mengakibatkan krisis ekonomi, malah turut menerima tekanan daripada parti pembangkang, serta Umno.

”Namun, kita melihat Perdana Menteri langsung tidak terpengaruh dengan tekanan itu, sebaliknya memilih untuk fokus mengekang penularan wabak Covid-19 serta menghidupkan kembali ekonomi negara.

”Selain itu, pelaksanaan darurat juga membolehkan beliau menumpukan kepada usaha menangani Covid-19 tanpa diganggu pergolakan politik,” kata beliau ketika mempengerusikan mesyuarat LDP bahagian Api-Api, di sini, semalam.

Sementara itu, Chin turut bersetuju sekiranya darurat hanya ditamatkan selepas 80% daripada populasi negara menerima vaksin.

Oleh itu, kata beliau, rakyat perlu bekerjasama dengan kerajaan dengan mendaftar secepat mungkin dalam program imunisasi Covid-19.

”Meminta supaya diadakan pilihan raya hanya akan mewujudkan gelombang baharu virus (Covid-19), seterusnya memanjangkan lagi tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

”Ekonomi kita akan runtuh terutama di Sabah yang sangat bergantung dengan industri pelancongan … rakyat sudah tidak dapat bertahan dengan keadaan seperti itu lagi,” kata beliau.

Chin dalam pada itu turut mengkritik bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurut beliau menyebabkan kekacauan politik sebelum ini, hanya demi kepentingan peribadi.

”Kekacauan politik di Malaysia tidak akan berlaku sekiranya Mahathir tidak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Anwar pula semakin hilang kepercayaan dalam kalangan PH (Pakatan Harapan) manakala Umno turut mengkhianati sekutunya sendiri.

”Kejadian inilah yang menyebabkan Yang di-Pertuan Agong memilih Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kerana mempunyai majoriti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat,” kata beliau. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top