SANDAKAN: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (LDP) bahagian Karamunting Lim Kai Min (gambar, berucap) berkata LDP yang sudah berdiri di Sabah selama 31 tahun diharap dapat menjadi pilihan pengundi di negeri ini dan parti terbabit komited meningkatkan peluang ekonomi dan pembangunan untuk rakyat.
“Saya berharap supaya para pengundi memilih parti politik tempatan untuk membentuk kerajaan baharu demi mempertahankan autonomi, menjaga hak dan kepentingan rakyat,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat tahunan LDP di sini semalam.
Menurutnya, Presiden Kehormat Seumur Hidup LDP Tan Sri Chong Kah Kiat bersama Presiden Parti Datuk Chin Shu Phin akan memimpin parti berkenaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 yang mana sangat memberikan inspirasi.
“Chong pernah berkhidmat sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar. Beliau seorang pemimpin yang berpengalaman, cekap dan berkebolehan,” katanya.
Jelasnya, beliau yakin jika parti berada dibawah pimpinan Chong dan Chin, LDP mampu memperolehi keputusan yang cemerlang dalam PRN nanti.
Oleh itu, Lim memohon semua para ahli LDP terus menyokong calon-calon yang dipilih parti berkenaan dan percaya sekiranya mereka terus bersatu, parti dapat memenangi PRN di Sabah. -Utusan Borneo