KOTA KINABALU: Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP) Datuk Chin Su Phin berkata parti itu mungkin tidak akan mengumumkan calonnya untuk pilihan raya negeri ke-16 sebelum hari penamaan calon pada 12 September.
Ujarnya, parti itu hanya akan mengumumkan senarai penuh calon pada hari penamaan calon sebagai sebahagian daripada strateginya.
Chin mengatakan LDP telah mengenal pasti calon untuk kerusi yang akan ditandingi , dan persiapan untuk menghadapi pilihan raya sekarang sedang giat dilakukan.
“Ini adalah kali pertama di mana LDP akan bertanding lebih dari 40 kerusi DUN sejak penubuhannya 31 tahun lalu.
“Selain kerusi tradisional Cina, kami akan bertanding di kerusi campuran etnik, bumiputera Islam dan bumiputera bukan Islam.”
Beliau mengulangi bahawa LDP akan bertanding dalam PRN ini secara bersendirian, tanpa ada kaitan dengan parti atau pakatan lain.
“Kami meminta mandat rakyat untuk mendapatkan lebih separuh daripada 73 kerusi DUN di Sabah untuk membentuk kerajaan negeri LDP,” katanya.
Sekiranya LDP diberi mandat untuk mentadbir kerajaan negeri, Chin berkata parti itu akan mencalonkan presiden seumur hidupnya, Tan Sri Chong Kah Kiat sebagai ketua menteri Sabah.
Dalam perkembangan lain, Parti Warisan Sabah (Warisan) dijadualkan mengumumkan calonnya hari ini (10 Sept).
Barisan Nasional (BN) Sabah dan Perikatan Nasional (PN) juga akan bersama-sama mengumumkan barisan calonnya hari ini.