LDP Hanya Pilih Calon Yang Jujur

Chong-Kah-Kiat-fb-110820-1.jpg

Tan Sri Chong Kak Kiat (gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) hanya memilih calon yang jujur dan berintegriti untuk membawa lambang parti itu di Bongawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 26 September ini.

Presiden Kehormat Seumur Hidup LDP, Tan Sri Chong Kah Kiat menegaskan pemilihan calon yang tepat penting bukan saja untuk memastikan kemenangan parti, malah dapat membela nasib rakyat.

Jelasnya, jika salah pilih calon, kawasan berkenaan akan terbiar dan rakyat terpaksa menunggu kemajuan yang sepatutnya diperolehi.

“Kita mahukan calon yang jujur, kita mahu calon yang berintegriti untuk membangunkan kawasan Bongawan.

“Disebabkan itu, saya sendiri turun padang untuk memilih calon yang akan membawa nama parti pada pilihan raya nanti.

“Saya pilih pemimpin yang betul-betul jujur, kita mahukan calon yang berintegriti dan mampu membawa kemajuan di kawasan masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis bersama rakyat di Manggatal di sini, hari ini (semalam).

Bekas ketua menteri Sabah itu berkata, beliau tidak mahu pemimpin yang hanya pandai berjanji tetapi tidak ditunaikan.

“Jangan jadi pemimpin yang janji hari ini, tapi esok tiada yang dilakukan,” katanya.

Bongawan dan satu lagi kawasan, Membakut adalah kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang berada dalam Parlimen Kimanis.

Kah Kiat berkata apa yang penting untuk Bongawan adalah pembangunan jalan raya, hospital serta bekalan elektrik dan air di sesetengah tempat.

Katanya rakyat Bongawan sudah beberapa kali memberi peluang kepada pemimpin sebelum ini namun ia masih gagal dilaksanakan.

“Oleh itu, kali ini saya pilih sendiri calon Parti Liberal Demokratik, calon yang baik dan jujur, Mohd Azree Abd Ghani.

“Beri peluang kepada beliau dan parti LDP. Kami akan lakukan yang terbaik untuk negeri Sabah,” katanya.

Mohd Azree, 29, anak jati Bongawan adalah antara calon muda yang bakal diketengahkan LDP dalam cubaannya untuk mencipta kejutan bagi memenangi PRN dan membentuk kerajaan baharu di negeri ini.

Difahamkan, LDP sudah menyenaraikan sejumlah nama calon bagi mewakili parti itu, termasuk di kawasan majoriti pengundi Bumiputera Islam dan Kadazandusun Murut (KDM).

Bongawan adalah kawasan dengan majoriti pengundi Bumiputera Islam, namun turut mempunyai ramai pengundi dalam kalangan KDM.

LDP sebelum ini mengumumkan mahu bertanding lebih 40 kerusi sejajar misinya pada PRN kali ini untuk menjadi kuasa ketiga bagi menghalang kemaraan Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Ketika berada dalam Barisan Nasional (BN) sebelum ini, LDP hanya bertanding di kawasan ramai pengundi Cina, namun membuat keputusan meluaskan kawasan pada PRN ini sejajar konsep parti itu yang mewakili semua kaum. – SabahNewsToday

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top