LDP Buat Kunjungan Hormat Kepada Masidi

LDP.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun di pejabatnya di sini, pada Khamis.

Rombongan berkenaan diketuai Presiden LDP Datuk Chin Su Phin, Setiausaha Agung Datuk Ir Yong Wui Chung dan Ketua Pemuda Bahagian Luyang Yong Harn Jian.

Ketua Pemuda Pergerakan LDP Pusat Sim Fui berkata, dalam pertemuan itu, pelbagai isu telah dibincangkan terutamanya berkaitan dengan pandemik COVID-19 di Sabah, pengurusan vaksin COVID-19 serta cadangan-cadangan daripada pelbagai industri di negeri ini.

“Dalam pertemuan itu, Masidi telah menjelaskan perkara berkaitan rancangan pencegahan COVID-19, kekurangan bekalan vaksin dan sebagainya.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri sudah meminta bekalan baharu vaksin COVID-19 daripada kerajaan persekutuan dan kini mencukupi, selain berharap sekurang-kurangnya seramai 40 peratus penduduk Sabah memperolehi vaksin berkenaan menjelang September depan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalami.

LDP dimaklumkan bahawa sehingga pertengahan Julai 2021 Sabah telah menerima sebanyak 747,980 dos vaksin. 300, 000 dos vaksin diterima pada 23 Julai 2021 dan 300,888 dos lagi akan dibekalkan pada 28 Julai ini.

Katanya, pengusaha pengiklanan, jahitan dan berkaitan perikanan kini sudah dibenarkan beroperasi di Sabah dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan waktu operasi juga bermula 6 pagi sehingga 8 malam.

LDP turut dimaklumkan sekiranya sasaran 40 peratus vaksinasi berjaya dicapai, kerajaan negeri secara berperingkat akan membenarkan lebih banyak aktiviti komersial untuk beroperasi.

“Komuniti peniaga di Sabah diseru agar bersabar kerana perniagaan akan dibenarkan bermula selepas sasaran berkenaan dicapai.

“Pertemuan dengan Masidi menghasilkan pelbagai keputusan positif. Orang ramai juga dinasihatkan sentiasa memberikan kerjasama kepada kerajaan agar bersama-sama dapat mengatasi pandemik ini seterusnya bergerak ke arah memulihkan ekonomi Sabah,” katanya.

Sim Fui berkata, tidak dinafikan kadar vaksinasi di Sabah adalah terendah berbanding negeri lain dalam Malaysia. Masih ramai dalam kalangan warga emas serta pelbagai peringkat umur rakyat di Sabah masih belum mendapatkan vaksin.

Oleh itu katanya, Kerajaan Pusat perlu memberikan kerjasama atau layanan adil kepada rakyat Sabah, saling bantu-membantu agar bersama-sama melindungi kesihatan serta hak penduduk negeri ini.

Selain di bandar katanya, kerajaan negeri juga memahami keperluan vaksin kawasan pedalaman yang mana bentuk muka bumi mencabar kepada para petugas.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah juga memberikan jaminan bahawa proses vaksinasi akan diperkasa selain memastikan tahap imunisasi rakyat Sabah dicapai menjelang akhir tahun ini.

“Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sabah juga perlu diperbanyak khususnya penggunaan kaedah ‘walk-in’ dalam usaha mempercepatkan proses vaksinasi.

“Saya percaya dengan lantikan pengarah kesihatan negeri yang baharu, perkara seumpamanya dapat direalisasikan.

“Sabah mempunyai ramai warga emas atau penduduk yang tidak pandai menggunakan telefon pintar dan hanya bergantung kepada pendaftaran secara manual.

“Oleh itu, kami mencadangkan agar warga emas boleh diberikan vaksin tanpa memerlukan mereka buat temu janji, ini akan mempercepatkan proses vaksinasi di Sabah,” katanya. – Utusan Borneo

 

Foto: FB Sim Fui


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top