KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) berharap akan menjadi ‘kuasa ketiga’ di Sabah selain menjadi pilihan alternatif bagi rakyat Sabah.
Bagi tujuan itu, parti tersebut memberi penghormatan kepada bekas presidennya, Tan Sri Chong Kah Kiat mengetuai parti berkenaan pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Chong kini ialah Presiden Kehormat Seumur Hidup LDP. Beliau pernah menjadi ketua menteri Sabah dari 2001 hingga 2003.
Presiden LDP Datuk Chin Su Phin berkata, kemunculan semula Chong adalah atas permintaan dan sokongan Majlis Tertinggi LDP serta anggota di peringkat akar umbi parti.
Beliau turut mengesahkan akan bertanding bersama Chong dalam PRN ini namun belum mahu mendedahkan kawasan yang akan ditandingi kedua-duanya.
“LDP akan mengadakan sidang media dan Tan Sri Chong Kah Kiat mengumumkan calon-calon LDP,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) LDP Bahagian Api-Api di sini kelmarin.
Chin yang juga Ketua Bahagian LDP Api-Api berkata, LDP bukan sahaja akan bertanding bagi kerusi Cina malah turut bertanding untuk kerusi Kadazan dan Melayu.
Katanya, tindakan itu menunjukkan LDP sebagai sebuah parti yang bersifat berbilang kaum tetapi secara tradisinya kerusi yang diperuntukkan parti didominasi orang Cina ketika LDP dalam komponen Barisan Nasional (BN).
“Selepas kekalahan BN dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14), LDP menarik diri dari BN dan sejak itu kekal sebagai parti pembangkang yang bebas.
“Politik Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini memasuki era gelap dengan perseteruan antara parti, amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Justeru, sebilangan besar pengundi kecewa dan letih terhadap parti politik dan pemimpin negara sehingga ragu-ragu untuk memberikan suara mereka sekali lagi dalam PRN kerana mereka percaya kedua-dua parti atau gabungan tidak akan memberi perbezaan kepada masa depan negara,” jelasnya.
“Kami juga benar-benar terkejut melihat ramai dalam kalangan masyarakat Kadazandusun dan Melayu mendekati Tan Sri Chong Kah Kiat dan mereka turut berhasrat untuk bergabung dengan LDP atau dipilih sebagai calon parti.
“Kebanyakan mereka terutama rakan dari suku kaum Kadazandusun gembira kerana Tan Sri Chong Kah Kiat akan kembali dan berjanji menyokong parti LDP,” katanya.