LDP akan mohon GRS untuk bertanding di kerusi Pantai Barat

Datuk-Ir-Yong-Wui-Chung.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) akan terus memohon kepada kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar membenarkan parti itu bertanding di kawasan Pantai Barat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Presiden LDP Datuk Yong Wui Chung (gambar) berkata, sekiranya LDP diberikan kerusi di Pantai Barat, parti itu akan bertanding dibawah GRS dan  keutamaan parti sudah pasti akan kekal bersatu dalam LDP bersama-sama rakan komponen GRS.

Katanya, perpaduan adalah penting untuk mencapai kejayaan politik kerana rakyat akan lebih yakin dengan ahli parti yang bergerak seiring dengan dasar serta agenda parti.

“Sebuah parti politik yang kukuh mampu membawa perubahan atau pengaruh politik yang besar disebabkan keupayaan parti berkenaan berpegang teguh dengan prinsip perjuangan,” katanya pada Persidangan Serentak LDP Bahagian Pantai Barat (Sulaman, Inanam, Likas, Api-Api, Luyang, Tanjung Aru, Petagas, Kapayan, Moyog, Pantai Manis dan Klias) di sini, kelmarin.

Beliau berkata, kemudahan asas memainkan peranan penting dalam kemajuan serta kemakmuran ekonomi negara.

Katanya, selain lebuh raya Pan Borneo yang memberikan manfaat rangkaian perhubungan, kerajaan juga perlu segera menyelesaikan Jalan Tuaran untuk melancarkan keadaan lalu lintas di kawasan Pantai Barat. Ia akan memperkasakan lagi perkembangan industri logistik dan perdagangan.

Selain itu katanya, industri pelancongan adalah sumber utama pendapatan Sabah dan ia sedang dalam proses pemulihan sejak kembalinya pelancong ke negeri ini selepas tiga tahun.

Bagaimanapun katanya, tahap kebersihan dan kemudahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), jalan raya dan destinasi pelancongan perlu dinaik taraf.

“Kita perlu sentiasa menaik taraf kemudahan pelancongan di Sabah untuk membina imej serta reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan, sekali gus memulihkan semula sektor ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, persidangan itu juga telah meluluskan tiga usul termasuklah menyeru kerajaan mempercepatkan pelaksanaan projek lebuh raya Pan Borneo, menyeru kerajaan persekutuan mempercepatkan kelulusan projek dibawah RM50 juta untuk dilaksanakan kerajaan negeri.

“LDP juga meluluskan usul menyeru kerajaan negeri memperkasakan kemudahan berkaitan pelancongan untuk memperkukuhkan lagi sektor ini di Sabah,” katanya.

Persidangan itu juga dimeriahkan dengan penyerahan dana insentif pendidikan LDP kepada pelajar cemerlang. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top