Lawatan Ke Sabah Ibarat Pulang Ke Kampung – Menteri Luar Australia

Penny-Wong.jpg

Penny Wong

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Menteri Luar Australia Penny Wong menyifatkan lawatannya ke Sabah ibarat pulang ke kampung halaman sendiri.

Beliau yang dalam rangka lawatan rasminya ke Malaysia – kali pertama sejak dilantik menganggotai kabinet Australia – tiba di bandar raya ini semalam.

Anak kelahiran Kota Kinabalu itu sempat mengimbau kenangan pantai Tanjung Aru, pulau Mamutik, Gunung Kinabalu, jambatan Tamparuli yang ikonik, dan sungai yang sejuk di tanah tinggi Tambunan.

Dia sempat mengisahkan kenangan tentang rumahnya di sini, tempat di mana bapanya membeli ikan dan udang segar, dan ayam masak cendawan nenek kesayangannya.

Wong merupakan anak daripada perkahwinan bapanya seorang warga Malaysia dengan ibunya seorang warga Australia. Apabila ibu bapanya berpisah, beliau berpindah ke Australia Selatan bersama ibu dan adik lelakinya ketika berusia lapan tahun.

Ahli politik berusia 54 tahin itu sering memberi penghormatan kepada latar belakangnya yang membesar di Kota Kinabalu dan bagaimana ia membentuk identitinya.

Wong berkata lawatan ini adalah satu imbauan manis kepada kenangan yang menjadi sebahagian besar dirinya.

“Ia umpama balik ke kampung. Lebih daripada itu ia juga adalah kunjungan untuk menghormati negeri dan negara kelahiran saya.

“Kedatangan ke sini adalah satu kisah yang boleh mengeratkan hubungan antara negara kita,” katanya ketika berucap pada majlis resepsi bersama rakan, keluarga dan pemimpin tempatan di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Shahelmey Yahya dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin.

Menteri Australia itu berkata kisahnya seperti kebanyakan rakyat Sabah dan Australia, menghubungkannya dengan penduduk pendatang di Australia.

“Apabila anda berjalan di bandar Australia, anda melihat separuh daripada kami di sini hari ini,” katanya merujuk kepada kepelbagaian dan asal usulnya.

“Ini adalah Australia moden, ini adalah Australia yang pelbagai hari ini, ia adalah Australia yang memahami bahawa kemakmuran kami, keselamatan kami dan masa depan kami dikongsi dengan anda,” tambahnya.

Penny dijadualkan berada di sini sehingga hari ini (Khamis).

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top