KOTA KINABALU: Segala langkah ataupun tindakan berkaitan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bergantung sepenuhnya kepada keputusan Kerajaan Negeri.
Warta Oriental melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili yang mengetuai rombongan MA63 yang terbang ke London pada 19 Jun lalu berkata, beliau dan pasukan telah menjalankan penyelidikan dan perbincangan dengan pemimpin Sarawak berkaitan dokumen-dokumen melibatkan perjanjian itu.
“Kami ada berbincang di sana dengan beberapa pemimpin Sarawak, yang turut berada di London. Kita perlu duduk dan menganalisis apa yang boleh diambil dan digunakan oleh Kerajaan Sabah untuk menyokong tuntutan mereka.
“Pada masa ini, kami menumpukan pada isu yang berkaitan dengan kewangan, Pelantar Benua dan sempadan,” katanya.
Menurut portal itu, Maximus yang Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda PBS di Dewan Hakka di sini hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan akan menyediakan ruang dan laluan untuk kerajaan negeri menyatakan tuntutan yang spesifik seperti yang terkandung di dalam dokumen MA63.
“Terpulang kepada Kerajaan Sabah untuk mengambilnya. Kami di pihak Kerajaan Persekutuan menyediakan jalan dan ruang untuk tuntutan khusus. Ia sememangnya satu lawatan yang sangat membuahkan hasil, dan kami mendapat data, terpulang kepada anda (Kerajaan Sabah) untuk menolak dan meneruskan”, ujarnya.
DMaximus terbang ke London pada 19 Jun yang lalu bersama wakil daripada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak bagi menjalankan penyelidikan terhadap dokumen Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah dinyahsulit di Arkib Negara, London.