SIPITANG: Apabila calon GRS bagi kerusi Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah berkempen di kampung-kampung, lagu “Datuk Matbali, Tetap GRS” dalam bahasa suku kaum Murut bergema di rumah atau dewan orang ramai berhampiran.
Antara lirik lagu ciptaan Daring Bian dan Yussof Bian dalam bahasa Murut itu ialah “lawan tai lang, lai sampa win, radu tempa radu, radu sampai rata, sungkoro taka no, Datuk Matbali, calon nu GRS” .
Dengan latar belakang lagu yang didengari, Matbali disambut oleh penduduk Kampung Meligan, Kampung Mendulong, Kampung Ulu Bole dan Kampung Long Pasia yang dikunjunginya dengan penuh semangat, malah ada juga yang menyanyikan lagu tersebut.
Matbali berkata, lagu itu adalah cara beliau berkempen di kawasan itu yang terdiri daripada beberapa suku kaum termasuk Murut, Kedayan dan Lundayeh.
Beliau yang berasal dari etnik Bisaya berkata bahawa kaum tidak menjadi masalah baginya kerana pengundi di Sipitang sangat terbuka, dan menyaksikan kepelbagaian kaum atau etnik adalah sesuatu yang sangat menyenangkan.
“Setakat ini tiada masalah, kerana di Sabah ini ada pelbagai suku kaum, berbeza agama. Puak bukan penghalang. Apa yang paling penting ialah semangat kerjasama untuk kerusi Parlimen Sipitang agar tidak ketinggalan dalam era pembangunan sekarang,” katanya kepada Bernama.
Kawasan Parlimen Sipitang mempunyai seramai 45,871 pengundi dan menempatkan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), DUN Lumadan dan DUN Sindumin.
Terletak 144 km di selatan Kota Kinabalu, aktiviti ekonomi penduduk adalah pertanian. Ia juga mempunyai Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang menawarkan peluang pekerjaan kepada belia tempatan.
Daerah Sipitang juga terletak di sempadan antara Sabah dan Sarawak manakala Kampung Long Pasia adalah kawasan paling terpencil di daerah Sipitang, 128 km dari bandar Sipitang.
“Sabah mempunyai lebih 43 suku atau etnik yang mempunyai pelbagai agama dan latar belakang tetapi sikap terbuka rakyat melihat semua orang hidup aman dan harmoni, kawasan Parlimen Sipitang ini tidak terkecuali,” kata Matbali.
Calon Warisan untuk kerusi itu, Datuk Adnan Puteh, juga dilihat berkempen tanpa jentera parti ketika bertemu pengundi di sekitar pekan Sipitang.
Malah Adnan, seorang peguam, mengakui kepenatan berkempen sejak diumumkan secara rasmi sebagai calon bertanding di bawah tiket Warisan pada 5 Nov lalu.
“Memang (menjadi calon) adalah sesuatu yang baharu, memang saya rasa penat…tetapi saya berazam untuk mengatasinya….jadi apa pun, saya teruskan sahaja,” katanya, mengakui bahawa cabaran utamanya adalah daripada calon GRS.
Sipitang bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru yang menampilkan Matbali (GRS), Adnan (Warisan) dan Lahirul Latigu (Amanah).
Sumber: BERNAMA