Lari Elak PKPD: Polis Buru 69 Penduduk Pulau Gaya

pulau-gaya.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Polis memburu 69 penduduk Kampung Pondo di Pulau Gaya yang berjaya meloloskan diri sebelum dibawa ke pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah (PKRC) di pulau itu.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata penduduk berkenaan lari dari rumah mereka selepas mendapat tahu kampung itu antara empat yang tersenarai akan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dari 8 hingga 21 Julai.

Kampung lain yang turut dikenakan PKPD adalah Kampung Kasuapan, Kampung Lok Urai dan Kampung Pulau Gaya. Pulau Gaya terletak kira-kira 10 minit menaiki bot dari Kota Kinabalu.

“Kerajaan menggesa mereka yang melarikan diri untuk mengelak kuarantin dan PKPD supaya segera kembali ke kampung itu bagi memastikan jangkitan tidak menular ke kawasan lain,” kata menteri kerajaan tempatan dan perumahan itu dalam kenyataan harian Covid-19 beliau semalam.

“Balai polis di Pulau Gaya sedang menjejak 69 suspek yang dipercayai menyelinap lari ketika dipindahkan ke pusat kuarantin (di pulau itu).”

Masidi berkata tindakan boleh diambil terhadap mereka mengikut undang-undang pencegahan dan kawalan penyakit sekiranya gagal pulang dan kemudian ditahan pihak berkuasa.

Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penduduk kampung berkenaan supaya terus menghubungi balai polis terdekat.

Terdahulu hari ini, Masidi berkata separuh daripada 70 kes jangkitan baharu yang dikesan di Kota Kinabalu dalam 24 jam lalu adalah dari Pulau Gaya.

Sementara itu, seorang jurujual dikenal pasti sebagai kes indeks kluster Agora Borneo iaitu melibatkan pasar raya besar di sini.

Masidi berkata, wanita berusia 24 tahun yang bekerja di Pasar Raya Besar Bataras di 1Borneo disahkan positif virus berkenaan di sebuah klinik pada 30 Jun, 10 hari selepas mula menunjukkan gejala.

Katanya, saringan kontak rapat wanita itu mendapati 26 daripada 133 orang termasuk 17 kes baharu hari ini, turut positif.

Tambahnya, 50 sampel negatif manakala 50 lagi masih menunggu keputusannya.

“Berdasarkan siasatan awal, virus telah merebak di tempat kerjanya dan dua generasi jangkitan dalam keluarganya,” katanya.

Tambahnya, pihak berkuasa masih melakukan pengesanan kontak.

 

Sumber: FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top