TAWAU: Cubaan seorang lelaki tempatan meloloskan diri daripada sekatan jalan raya semasa membawa syabu seberat dua kilogram telah digagalkan oleh pihak berkuasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam Isnin, lelaki berusia 30 tahun yang dipercayai pengedar dadah berjaya ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Jalan Tiku.
Berlaku aksi kejar-mengejar kenderaan dipandu suspek namun, tindakan pantas anggota PDRM berjaya menahan suspek selepas kira-kira lima minit kenderaanya memecut laju melarikan diri daripada sekatan jalan raya.
Kenderaan suspek ditahan semasa berada di simpang Taman Megah Jaya 10.
Berdasarkan siasatan, anggota PDRM menemukan dua beg plastik berisi hablur lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 2,010.39 gram yang disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu.
“Semua syabu yang dianggarkan bernilai RM120,000 itu dirampas dan suspek terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua dadah yang dirampas itu adalah untuk pasaran tempatan dan juga daerah sekitar. Dadah itu dipercayai boleh digunakan oleh 15,000 orang penagih.
“Kita masih menjalankan siasatan sama ada suspek adalah ketua sindiket mahupun keldai dadah yang diupah untuk menghantar barang tersebut,” jelasnya.
Menurut Jasmin, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Suspek juga merupakan seorang penganggur.
Jelasnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 10 Oktober.