Laporan terperinci bagi kenal pasti peruntukan bencana di Pensiangan – Arthur

arthur.jpg
Kongsi Bersama

NABAWAN: Laporan terperinci sedang disediakan untuk mengenal pasti peruntukan kecemasan diperlukan bagi kejadian bencana di kawasan Pensiangan dekat sini baru-baru ini sehingga menyebabkan kira-kira 500 penduduk terputus hubungan.

Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Kurup berkata laporan itu sedang disediakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Nabawan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), dan akan diserahkan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk tindakan selanjutnya.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim setakat ini bersetuju meluluskan peruntukan kecemasan bagi pelaksanaan kerja penyelenggaraan jalan dan membina jambatan baharu yang putus di sepanjang Jalan Panabaan-Pensiangan di sini.

“Peruntukan itu susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 5 Sept lalu dan menyebabkan penduduk Kampung Salinatan dan sekitarnya terjejas kerana laluan berkenaan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.

“Bagaimanapun gelombang kedua bencana telah berlaku 21 Sept lepas menyebabkan sembilan kampung terlibat iaitu Kampung Kabu, Saliliran, Siatu, Simohong, Karampalon, Babayasing, Dobolon, Sibangali dan Pangaran.

“Oleh itu peruntukan yang kita minta daripada ICU JPM sebelum ini tidak cukup, jadi kita sekali lagi membuat laporan terperinci untuk memastikan berapa peruntukan baharu yang diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program Kembara Sains Borneo Siri 2 2023 di sini pada Sabtu.

Rabu lepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah bersama agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), menjalankan misi menghantar bantuan 10.45 tan makanan menggunakan helikopter kepada penduduk di kawasan Pensiangan yang terputus bekalan susulan tanah runtuh 5 Sept lalu.

Pada masa yang sama, Arthur berkata kini JKR sedang melaksanakan kerja-kerja pembaikan di kawasan yang terjejas untuk memastikan jalan berkenaan dapat dilalui oleh orang ramai.

“Saya juga berterima kasih kepada semua pihak khususnya agensi kerajaan yang banyak membantu termasuk menghantar bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat bencana berkenaan,” katanya.- BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top