Laporan Awal Pekerja Asing Dijangka Siap Dalam Tiga Bulan – Dr Jeffrey

Dr-Jeffrey.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yakin laporan awal berkaitan pekerja asing tanpa dokumen di Sabah diyakini mampu disiapkan dalam tempoh tiga bulan ini.

Utusan Malaysia melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Khas mengenai Pekerja Asing Tanpa Dokumen Sah itu berkata, selepas laporan awal diperoleh, langkah penyelesaian terbaik akan dikenal pasti bagi menangani isu pekerja asing di negeri ini.

Sehingga kini belum ada data lengkap mengenai pekerja asing yang berada di Sabah maka, tempoh tiga bulan itu diharap dapat mengumpul semua data yang diperlukan.

Justeru, pada peringkat awal, beliau akan berjumpa dengan pihak berkaitan seperti agensi penguat kuasa, majikan, pemimpin masyarakat serta pemimpin politik termasuk pemimpin pembangkang bagi mengambil kira semua cadangan dan pandangan yang berkaitan.

Menurut beliau, segala cadangan daripada pelbagai pihak akan diberi perhatian agar kaedah penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan masalah itu. Ia bukan masalah kerajaan semata-mata, ini adalah masalah bersama.

Jeffrey berkata, beliau juga mengambil maklum cadangan pemimpin Sabah untuk menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

“Memang baik jika ada banyak cadangan dan kita akan melihat kepada semua cadangan yang diberi untuk dikumpulkan dan menggabungkan kombinasi yang baik.

“Pada akhirnya, kita akan duduk berbincang untuk mencari penyelesaian terbaik,” katanya selepas melancarkan inisiatif belia prihatin alam sekitar: We Be-Leaf Together di Tabika Perpaduan, Taman Jumbo, Putatan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Perikanan itu berkata, menerusi program tersebut, sebanyak 2,200 anak pokok akan ditanam bagi mendidik masyarakat mengenai usaha penjagaan alam sekitar susulan perubahan iklim yang membimbangkan pada masa ini.

Jelas beliau, pokok yang ditanam itu akan menghasilkan buah yang boleh dimakan oleh kanak-kanak di Tabika Perpaduan berkenaan. Pelaksanaan program sebegini juga akan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pembangunan mampan.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top