Laporan Akhir Tragedi ‘Double Six’: Tiada Sabotaj, Letupan, Kebakaran

double-six.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Laporan Akhir Siasatan Kemalangan Udara Nahas Pesawat Sabah Air yang berlaku pada 6 Jun 1976 mendapati tiada sebarang bukti sabotaj, kebakaran atau letupan ditemui oleh pasukan penyiasat dalam siasatan terhadap punca pesawat terhempas.

Penemuan terkandung dalam laporan berkenaan yang dinyahklasifikasi mengikut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), hari ini.

Laporan akhir nahas pesawat itu dikeluarkan oleh pasukan penyiasat diketuai Kol (U) Omar Saman yang juga Pengarah Operasi Pesawat di Jabatan Penerbangan Awam.

Orang awam kini boleh memperoleh laporan itu menerusi laman web Kementerian Pengangkutan Malaysia dengan melayari pautan https://www.mot.gov.my/en/aviation/reports/n22b-nomad.

Menerusi pautan tersebut, salinan dokumen dalam bentuk PDF disediakan kepada pelayar, boleh terus dibuka dan dimuat turun sebaik saja berjaya mengakses laman web berkenaan.

Sementara itu menurut BHarian mengikut laporan itu, pesawat malang terbabit diselenggara mengikut jadual, selain melakukan penerbangan dengan had berat yang dibenarkan.

Bagaimanapun, laporan itu juga mendedahkan kedudukan pusat graviti pesawat terbabit di luar had buritan kapal.

“Prosedur operasi yang dijalankan oleh juruterbang syarikat itu tidak mengikut standard profesional,” kata laporan itu lagi.

Berdasarkan penemuan laporan itu yang disiapkan pada Januari 1977, juruterbang bertugas dikesan hilang kawalan terhadap pesawat berkenaan.

Laporan itu turut menyebut bahawa tiada bukti bahawa adanya kerosakan sebelum nahas pesawat itu, atau enjinnya menjadi faktor penyebab nahas.

Ujian patologi terhadap juruterbang pesawat Sabah Air yang terhempas di perairan Sembulan pada 6 Jun 1976 membuktikan beliau cukup layak untuk terbang pada ketika itu.

Laporan akhir nahas udara itu juga mendedahkan juruterbang berkenaan tidak mengalami kesan daripada alkohol atau dadah.

Bagaimanapun, terdapat bukti lain yang menunjukkan juruterbang itu penat dan mengalami sakit perut ringan.

Pada 5 April lalu, media melaporkan kerajaan bersetuju menyahklasifikasikan laporan kemalangan pesawat itu yang dikenali sebagai “Tragedi Double Six”.

Dalam tragedi pada 6 Jun 1976 itu, Fuad yang baru 53 hari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, meninggal dunia bersama 10 yang lain, termasuk menteri kabinetnya, apabila pesawat GAF Nomad dinaiki mereka terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu.

Mereka yang maut termasuk Menteri Kabinet Sabah, Datuk Salleh Sulong, Datuk Chong Thien Vun dan Datuk Peter Mojuntin.

Susulan kejadian itu, pengeluar GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan bahawa nahas bukan disebabkan oleh masalah mekanikal.

Siasatan selesai kira-kira empat bulan kemudian, tetapi laporan penuh tidak didedahkan kepada umum kerana diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top