SANDAKAN: Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Haji Nasir mendesak Ketua Menteri dan ADUN-ADUN Sabah yang terlibat untuk mengambil tindakan tegas berhubung tuduhan serius yang telah dibuat oleh pemberi maklumat terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Tuduhan-tuduhan tersebut bukan sahaja telah mencemarkan nama baik Ketua Menteri Sabah dan Kerajaan Sabah, tetapi juga menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi pentadbiran negeri serta pelabur,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran menjelaskan pentadbiran Kerajaan Negeri bertanggungjawab memastikan ia beroperasi dengan penuh integriti dan bebas daripada sebarang unsur fitnah atau tohmahan tidak berasas.
Oleh itu, beliau meminta Ketua Menteri dan ADUN-ADUN terlibat harus membuat laporan polis dan tindakan saman untuk menyampaikan mesej tegas bahawa tuduhan palsu tidak akan diterima dan membolehkan kebenaran ditegakkan.
“Saya akan terus memantau perkembangan isu ini dan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana pihak yang berusaha untuk menegakkan kebenaran dan keadilan.
“Tindakan tegas ini adalah perlu untuk memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri terus dihormati dan dipercayai oleh rakyat,” tegasnya. – Jesselton Times