Lapan, Termasuk Dua Wanita Dipanggil Kes Minum Arak Di PKRC

arak.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Polis memanggil dua wanita dan enam lelaki yang terbabit dalam isu minum minuman keras di sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ia bagi membantu siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi mendapatkan arahan pertuduhan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit No.9 2020.

“Kami memandang serius kejadian seperti ini dan siasatan menyeluruh akan dilakukan termasuk bagaimana minuman keras itu dibawa ke situ,” katanya.

Sebelum ini, tular rakaman video menunjukkan sekurang-kurangnya lapan individu terbabit dalam aktiviti minum minuman keras di pusat berkenaan.

Video berdurasi 12 saat itu memaparkan seramai enam lelaki dan dua wanita sedang memegang tin minum arak jenis bir.

Sementara itu, Habibi berkata, seramai 29 individu dikenakan kompaun selepas didapati ingkar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini, sejak 13 Januari lalu.

Beliau berkata, antara kesalahan dikesan adalah berkumpul tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Menurutnya, polis turut mengarahkan 300 kenderaan berpatah balik di dua Sekatan Jalan Raya (SJR) di sempadan daerah ini.

“Ia bagi menghalang pengguna jalan yang tidak mempunyai alasan kukuh meneruskan perjalanan rentas daerah.

“Semua pengguna jalan raya itu diarahkan berpatah balik berdasarkan alamat pada kad pengenalan pemandu,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top