TAWAU: Lapan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pemohon tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan Rina Haji Jainal berkata, pihaknya akan menyerahkan semua lapan Rumah Mesra SMJ yang siap pada tahun ini kepada pemohon sedia ada.
“Hari ini saya menyampaikan tiga buah Rumah Mesra SMJ yang sudah siap diduduki oleh pemohon dan lima lagi dalam masa terdekat.
“Sebanyak 48 lagi kuota Rumah Mesra SMJ di DUN Kukusan akan dilaksanakan tahun ini dan akan memberi manfaat kepada pemohon yang layak,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan Sabah berkata demikian ketika menyampaikan kunci rumah kepada salah seorang penerima di Kampung Jawa, di sini semalam.
Menurutnya, semua permohonan yang telah diluluskan tahun ini adalah pemohon terawal sejak projek ini dilancarkan pada September 2022 lagi.
“Saya percaya kerajaan negeri akan menyediakan lebih banyak Rumah Mesra SMJ pada masa akan datang memandangkan ekonomi Sabah bertambah kukuh.
“Projek Rumah Mesra SMJ ini sememangnya banyak membantu rakyat terutamanya mereka yang tidak mampu untuk membina rumah sendiri disebabkan kekangan kewangan,” katanya.
Sementara itu, Rina berkata, tanah di kawasan Kukusan agar terhad dan sukar mencari tapak yang sesuai untuk pembinaan projek Rumah Mesra SMJ.
“Bagi kuota DUN Kukusan, saya tidak mengehadkan pemohon supaya wajib membina Rumah Mesra SMJ ini di kawasan Kukusan.
“Justeru, sekiranya pemohon mempunyai tapak tanah di luar DUN Kukusan, kita juga masih boleh mempertimbangkannya,” katanya.
Rina berkata, atas keprihatinan pihak kerajaan negeri juga, projek Rumah Mesra SMJ yang dianggarkan bernilai RM80,000 ini akan ditambah baik.
“Projek Rumah Mesra SMJ kali ini cukup lengkap kerana akan dimasukkan kos pembinaan tapak tangki dan sistem perparitan,” katanya. – Utusan Borneo