Lapan PATI ditahan gagal kemuka dokumen perjalanan

PATI-1.jpg

Lapan PATI yang ditahan semasa memetik rumpai laut di perairan Pulau Sebatik, Tawau kelmarin.

Kongsi Bersama

TAWAU: Seramai lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sedang leka melakukan aktiviti memetik rumpai laut ditahan di perairan Pulau Sebatik kelmarin.

Kesemua PATI warga Indonesia berusia antara 18 hingga 41 tahun itu ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tawau kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kesemua mereka ditahan ketika aset bot peronda Maritim Malaysia sedang menjalankan rondaan melalui Op Pluto Timur 2/13, Op Sejahtera 1/22 dan Op Tiris di sektor operasi di perairan berkenaan.

“Semasa anggota Maritim sedang membuat rondaan rutin operasi, mereka berjaya mengesan dua buah bot jenis jongkong yang dipercayai sedang menjalankan aktiviti memetik rumpai laut di kawasan perairan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot-bot berkenaan masing-masing dikendalikan oleh seorang juragan bersama tiga orang pekerja lelaki dipercayai warga Indonesia gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kedua-dua bot jongkong, enjin bot, barangan peribadi disita dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM50,000.

Menurut Shahrizan, Maritim Malaysia akan terus memperkasa tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di zon Maritim Malaysia khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), dengan kerjasama agensi-agensi lain.

Jelas beliau, orang ramai khususnya komuniti maritim juga perlu membantu menyalurkan maklumat mengenai sebarang salah laku jenayah di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 atau talian kecemasan MERS 999. –UTUSAN

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top