Lapan PATI Cuba Masuki Sabah, Seorang Agen Darat Ditahan Di Tawau

PATI.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Seramai lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia yang baru mendarat di Tawau bersama seorang warganegara Malaysia yang bertindak sebagai agen darat telah ditahan dalam satu serbuan pada jam 2.30 pagi semalam.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada Sabtu oleh Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) Tawau, kejayaan tangkapan ini adalah hasil pengesanan awal radar Coastal Surveillance System (CSS) serta tindakan pantas Tim Quick Reaction Force (QRF) yang sedang melaksanakan Op BENTENG BERSAMA di bawah pemerintahan Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad.

“Radar CSS yang dikendalikan oleh operator MK ATB 2 telah mengesan sebuah bot laju yang tidak berdaftar dari luar sempadan perairan Malaysia telah memasuki perairan Tawau.

Bot laju yang dinaiki kesemua PATI tersebut dikesan oleh radar CSS telah bergerak dari arah Pulau Sebatik, Indonesia menuju ke kawasan perkampungan rumah atas air Kampung Kurnia Jaya, Tawau.

“Tim QRF ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan lanjut dan bertindak mengepung serta berjaya menahan lapan PATI yang baru menaiki sebuah van penumpang di Jambatan 2, Kampung Kurnia Jaya, Tawau,”kata kenyataan itu.

Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki dewasa warganegara Malaysia berusia 32 tahun (agen) dan kesemua PATI merupakan warganegara Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah cuba memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Tawau.

Mereka terdiri daripada dua lelaki dewasa berusia 38 dan 53 tahun, tiga wanita dewasa berusia dari 30 hingga 52 tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun dan dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan 11 tahun. Kesemua PATI hanya membawa barang persendirian dan tiada penemuan barang-barang terlarang.

Dalam pada itu, mereka memaklumkan bahawa mereka berasal dari Pulau Sebatik, Indonesia dan baru pulang bercuti melawat keluarga di Indonesia dan masih bekerja tanpa permit sah di Malaysia.

Bagaimanapun, kesemua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada jam 3.15 pagi menggunakan sebuah kenderaaan tentera pacuan empat roda, bagi tujuan soal siasat, laporan polis dan proses saringan COVID-19 serta tindakan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 jika sabit kesalahan iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah manakala agen warganegara Malaysia tersebut ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top