TENOM: Calon Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) N.42 Melalap Jamawi Jaafar menjanjikan 8 teras utama misi beliau sebagai aspirasi kesejahteraan rakyat di kawasan itu pada pilihan raya negeri (PRN ) kali ini.
Risalah ‘Melalap Misi 2025 ‘ yang lancarkan pada Isnin lepas, di diedarkan kepada masyarakat setempat, menggariskan 8 perkara yang diberikan keutamaan untuk menjana pembangunan di kawasan DUN Melalap iaitu Pendidikan, Sosio-Ekonomi, Pertanian, Pelancongan, Infrastruktur, Modal Insan, Perubatan dan Pendidikan Tinggi.
Jamawi Jaafar ditemui selepas majlis pelancaran itu berkata, misi ini adalah halatuju beliau untuk jangka masa 5 tahun jika rakyat di kawasan tersebut memilih beliau sebagai wakil rakyat pada PRN 26 September ini.
“Inilah misi utama saya kepada rakyat Melalap dalam memacu dan merubah landskap pembangunan di kawasan ini. Ini bukan janji kosong, apa yang saya katakan memang sudah saya buat sejak 10 tahun lalu dan saya hanya menambah untuk rakyat Melalap mengikut acuan mereka,” katanya.
Memperincikan misi tersebut Jamawi berkata dalam bidang pendidikan bukan sahaja bantuan pendidikan disalurkan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi namun program-program pendidikan yang boleh memacu kecemerlangan pelajar di sekolah rendah dan menengah akan dilaksanakan agar tidak ada pelajar yang tercicir.
” Pelaksanaan program-program pendidikan ini akan diselaraskan melalui Yayasan Melalap seperti yang terkandung dalam misi ini, di mana selain itu yayasan ini juga turut memberikan bantuan kebajikan kepada rakyat Melalap yang memerlukanya termasuk mereka yang sakit, kematian dan yang ditimpa musibah,” tambahnya.
Dalam misi ini juga beliau turut memberikan penekanan kepada dua sektor yang boleh dimajukan di Melalap iaitu sekotor pelancongan dan pertanian .
Menurut Jamawi, Melalap berpotensi untuk dibangunkan sebagai hub pelancongan kerana sudah ada produk-produk pelancongan yang boleh ditonjolkan.
“Kita sudah ada Taman Pertanian di Lagud Sebarang, Pusat Kebudayaan Murut dan produk-produk budaya lain seperti tradisi kraftangan. Kita hanya perlu pelbagaikan program dan perhebatkan pemasarannya bagi menarik lebih ramai pelancong dalam san luar negeri datang melawat Melalap, ” katanya
“Sebagai contoh di Kemabong kita ada Rundum Highland ,sebelum ini orang luar kurang mengetahuinya kecuali yang selalu membaca fakta sejarahnya tapi apabila kita jenamakan semula dengan mempelbagaikan program dan pertingkatkan kemudahannya kini kawasan tersebut sudah mula dikenali dan dikunjungi oleh pelancong domestik dan dari luar negara,” katanya.
Dalam memperkasakan sektor pelancongan ini Jamawi berkata beliau turut menekankan pelancongan komuniti dengan penglibatan masyarakat setempat agar mereka turut bersama memperolehi sumber pendapatan.
Tambah Jamawi selain memperkasakan produk pelancongan yang ada, usaha untuk memajukan sektor pertanian juga turut diberikan perhatian.
“Sesuai dengan faktor geografinya Melalap juga boleh dijadikan hub pertanian dengan menggalakkan penduduknya menceburi bidang pertanian terutamanya tanaman mempunyai permintaan pasaran yang tinggal seperti Musang King, Nenas, dan lain-lain,” katanya.
Menurut beliau dengan adanya Taman Pertanian di Lagud Sebarang ianya boleh diperluaskan menjadi hub penyelidikan pertanian moden melalui jalinan kerjasama dengan unversiti tempatan dan luar negara.
Jamawi berkata apapun yang dimasukan dalam misi berkenaan ianya tidak mampu dilaksanakannya tanpa sokongan padu dari rakyat di kawasan Melalap.
“Justeru amat penting rakyat Melalap menyokong saya dan BN dalam PRN kali ini untuk sama-sama memperhebatkan Melalap agar kemajuan dan kemakmuran dapat dikongsi bersama.
“Saya tidak mampu menjanjikan peruntukan berjuta-juta ringgit, namun bertekad membawa perubahan pembangunan demi kesejahteraan rakyat Melalap yang memahami aspirasi mereka sendiri,” jelas Jamawi.
Oleh: Jaafar Abdul Wahid