Lantik Rakyat Sabah Yang Layak Ketuai Jawatankuasa Bincang Isu-Isu Berkaitan Negeri – Anifah

anifah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mesti melantik rakyat Sabah yang berkelayakan untuk mengetuai jawatankuasa yang membincangkan isu berkaitan negeri ini.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, apabila timbul isu yang menjejas negeri ini, adalah menjadi prosedur standard bagi Ketua Menteri membentuk jawatankuasa untuk mengkaji perkara itu.

“Jawatankuasa itu akan membincang dan membahaskan isu itu dan mengambil kira aspek perundangan, sosial dan ekonomi sebelum membentangkannya sama ada kepada Kabinet atau Dewan Undangan Negeri,” kata Anifah.

Beliau bagaimanapun menambah bahawa untuk cadangan itu berguna dan diterima pakai oleh negeri, orang yang berkelayakan mesti dilantik menjadi ahli dan mengetuai jawatankuasa tersebut.

“Kita perlu beralih daripada melantik ahli politik mengetuai jawatankuasa semata-mata kerana mereka Adun atau Menteri Kabinet atau berasal dari parti yang sama dengan kepimpinan negeri.

“Apakah penyelesaian yang boleh dicadangkan selain daripada retorik politik apabila jawatankuasa itu terdiri daripada ahli politik yang tidak mempunyai pengalaman dalam menangani perkara yang dibincangkan?” kata Anifah, yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS).

Anifah juga berkata selain jawatankuasa, Sabah tidak akan dapat bergerak ke hadapan sekiranya jawatan kepimpinan diberikan kepada mereka yang tidak mempunyai kelayakan atau pengalaman.

“Saya faham bahawa dalam demokrasi, adalah penting untuk Ketua Kerajaan memberi ganjaran kepada ahli parti dengan jawatan kepimpinan. Bagaimanapun, pemilihan yang teliti perlu dibuat bagi memastikan hanya mereka yang layak diberi jawatan kepimpinan,” katanya.

Anifah, yang juga bekas ahli parlimen Kimanis berkata, kekurangan pengalaman dalam kalangan mereka yang dilantik menyandang jawatan kepimpinan akan merugikan negeri terutamanya apabila isu-isu tidak dapat diselesaikan terutama yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Perjuangan kita untuk MA63 dihormati akan menjadi sia-sia dan kita akan ketinggalan jika tidak dapat mencari penyelesaian kepada masalah sedia ada seperti status Sabah dalam Malaysia; royalti minyak; 40 peratus pulangan daripada Kerajaan Persekutuan; pekerjaan dalam perkhidmatan awam dan lain-lain.

“Rakyat Sabah mahukan penyelesaian yang tuntas kepada masalah yang mereka hadapi dan bukannya retorik politik,” tambahnya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top