Lantik 30% Wanita Dalam Majlis Daerah Bukti GRS Hargai Kaum Hawa – Azizah

azizah-mohd-dun.jpg
Kongsi Bersama

OTA KINABALU: Langkah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi ruang kepada 30 peratus wanita sebagai ahli majlis daerah bukti peranan dan sumbangan wanita dihargai.

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah Datuk Azizah Mohd Dun menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memandang tinggi peranan dan sumbangan wanita dalam pentadbiran termasuk di peringkat Majlis Daerah.

Ahli Parlimen Beaufort itu turut berharap agar kepimpinan kerajaan negeri terus memberi ruang kepada wanita untuk menyumbang peranan dalam urusan pembuatan dasar termasuk menempatkan wanita dalam agensi-agensi kerajaan.

“Seperti yang disasarkan dan diperjuangkan sebelum ini, kita mahu kepimpinan kerajaan kini meningkatkan jumlah penglibatan kaum wanita dalam kumpulan pembuat dasar kepada 30 peratus.

“Sasaran berkenaan kini dapat dilihat dalam pentadbiran dua majlis daerah iaitu di Putatan dan Beaufort yang mencapai 30 peratus penglibatan kaum wanita.

“Saya juga mengharapkan ada pertambahan lagi mana-mana agensi kerajaan supaya sasaran 30 peratus tercapai,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, pembabitan lebih ramai wanita dalam majlis daerah nyata dapat memberi peluang kepada golongan itu untuk berada dalam barisan kepimpinan serta menyumbang idea bernas demi pembangunan dan kemajuan.

Dalam pada itu, pihaknya menyatakan penghargaan kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun kerana menetapkan satu garis panduan dalam melantik ahli-ahli majlis daerah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang melibatkan 30 peratus kaum wanita.

Langkah itu jelasnya membuktikan kerajaan GRS amat memandang tinggi kepada kaum wanita dan mengiktiraf peranan serta sumbangan wanita.

Azizah turut menyeru agar semua wanita terus meningkatkan keupayaan diri dari segi intelektual dan fizikal untuk terus kekal cemerlang dan mampu menyumbang kepada negeri.

“Usaha kita untuk memastikan penglibatan dan penyertaan wanita dalam jabatan, organisasi atau ahli majlis daerah masing-masing, wajar seiring dengan keupayaan kita.

“Justeru, saya ingin mengajak semua wanita untuk terus berfikiran positif, menjaga kesihatan diri, meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan dan sentiasa peka dengan perkembangan semasa,” jelasnya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top