’Langsuir’ Muncul di PPV Mini Putrajaya Untuk Suntikan Dos Pertama

langsuir.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Dari adiwira kepada hantu, penerima suntikan vaksin semakin kreatif apabila datang ke pusat-pusat pemberian vaksin (PPV).

Pada Khamis, seorang penerima vaksin mengejutkan ramai orang apabila muncul di PPV Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah (Mini Putrajaya), di sini, dengan memakai kostum hantu.

Di sebalik kostum itu ialah pereka berumur 31 tahun, Diana Johneddie, yang datang untuk dos pertamanya dengan berpakaian seperti langsuir, bertujuan untuk menceriakan suasana di PPV itu.

Langsuir adalah makhluk menyerupai wanita dalam mitologi Melayu dan Indonesia, dipercayai hantu wanita yang mati ketika hamil atau melahirkan anak.

“Saya ingin menghiburkan kakitangan di pusat itu dan saya juga mahu menghilangkan kerisauan mereka yang akan menerima suntikan,” dia memberitahu Harian Ekspres ketika dihubungi, Khamis.

Wanita itu menambah, dia mengambil keputusan untuk tampil dengan kostum itu kerana dia pada mulanya dicabar untuk melakukannya.

Diana berkata kostumnya itu meraih perhatian di PPV itu kerana ramai yang meminta untuk bergambar dengannya.

“Ramai orang terkejut tapi ramai juga yang ingin bergambar dengan saya (sepanjang proses itu), bermula dari tempat letak kereta, ke pintu masuk, ke tempat mengisi borang dan sekali lagi di tempat letak kereta apabila saya hendak pulang,” katanya.

Kemudian pada sebelah petang, Diana memuat naik gambarnya dengan kostum itu ke dalam talian dan ia tular di Facebook dan WhatsApp, yang mengundang kegembiraan dan rasa lucu dalam kalangan warga maya.

Seorang warga maya berkata, “Ini sangat kreatif, malah hantu turut diberi suntikan” sementara seorang lagi bergurau, “Hantu pun takut (kepada) Covid-19, sedarlah wahai manusia”.

Diana bercadang untuk membuat satu lagi kejutan pada temu janji vaksinasinya untuk dos kedua.

Baru-baru ini, dua penerima vaksin turut muncul dengan kostum adiwira di PPV. Seorang berpakaian seperti ‘Ironman’, sementara seorang lagi tampil dengan watak ‘Spiderman’.– DE/Warta Oriental

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top