Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang terkejut dengan kenyataan Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dijemput untuk membawa PKR menyertai Langkah Sheraton.
Lim berkata versi yang diceritakan oleh Nik Nazmi itu merupakan perkara yang baru baginya kerana presiden PKR itu sebelum ini tidak pernah bercerita mengenai perkara sedemikian dengannya.
“Ini adalah kali pertama saya mendengar cerita bahawa Anwar telah dijemput untuk membawa PKR untuk menyertai Langkah Sheraton, namun presiden PKR tersebut telah menolak tawaran untuk menyertai kerajaan baharu tersebut dan memilih untuk kekal setia dengan PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Merujuk kepada satu wawancara portal dalam talian bersama Nik Nazmi, ahli Parlimen Setiawangsa itu mendakwa Anwar pernah ditawarkan untuk menggantikan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan persekutuan tetapi ketua pembangkang itu menolak tawaran tersebut.
Menceritakan perkara yang sama kepada Malaysiakini semalam, Nik Nazmi turut berkata bahawa sekiranya Anwar ingin menjadi perdana menteri telah lama dia membawa PKR untuk sertai Langkah Sheraton.
Bagaimanapun, dia tidak menyebut secara spesifik pihak yang mengundang Anwar untuk menjadi sebahagian daripada Langkah Sheraton.
Pengarah Biro Pendidikan Politik Kebangsaan DAP Liew Chin Tong (gambar,tengah), menyifatkan kenyataan Nik Nazmi kemungkinan untuk mengingatkan agar pemimpin DAP “bersyukur”.
“Mungkin ini bertujuan untuk mengingatkan beberapa pemimpin DAP untuk “bersyukur” dan tidak menyoal Anwar kerana berunding dengan Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak dari Umno.
“Kita boleh berbeza pendapat mengenai inisiatif PKR untuk membentuk kerajaan dengan berunding dengan ‘kluster mahkamah’. Tetapi perkara ini paling baik dilakukan tanpa mengubah sejarah,” kata Liew.
Baca seterusnya di: Malaysiakini