‘Langkah Sheraton’ Dari Sudut Pandangan Seorang Rakyat Biasa

langkah-sheraton.jpg
Kongsi Bersama

1.Sebahagian orang sekarang ini dalam mood mengenang ‘Langkah Sheraton’. Saya pun sama.

2. Bagaimana langkah itu dilihat, ia bergantung pada di petak mana anda berdiri. Yang berada dalam petak Pakatan Harapan (PH) dan yang sekufu dengannya terus melihat ‘Langkah Sheraton’ sebagai satu pengkhianatan.

3. Saya tidak berdiri dalam mana-mana petak. Sekadar rakyat biasa yang berdiri di atas garisan petak dan sangat ‘mementingkan’ diri sendiri.

4. Maksudnya saya hanya menyokong apa yang saya fikir menguntungkan saya dan orang biasa macam saya. Menjadi manusia ideal sampai ke peringkat merugikan diri sendiri bukan cara saya. Lagipun saya telah temui terlalu ramai idealis plastik. Depan khalayak cakap lain, depan duit cakap lain. Pemimpin plastik? Lagilah ramai..

5. Untuk rekod, 2004 saya sokong BN dengan menggantungkan sepenuh harapan kepada Pak Lah; 2008 saya tarik balik sokongan sebab merasakan Pak Lah tak boleh diharap: 2013 saya undi BN sekali lagi kerana tertarik dengan pendekatan Najib; tapi 2018 saya alihkan sokongan kepada PH selepas berpuas hati yang Najib bukannya jenis pemimpin yang saya mahu.

6. Tetapi PH juga akhirnya mengecewakan saya. Banyak sebab. Antaranya, ia menjadi ibarat sebuah rumah yang di dalamnya terdapat terlalu ramai tukang. Yang lebih memeritkan, tukang cakapnya lebih banyak daripada tukang buat.

7. Sebab lain yang lebih besar adalah kerana PH gagal memupuk dan memelihara perkara paling asas di sebuah negara yang majmuk seperti Malaysia – perpaduan.

8. Selama 22 bulan bersama PH rakyat dipenatkan dengan berita dan cerita yang menggusarkan. Hina agama, hina bangsa, hina raja, hina bendera. Lepas satu, satu. Kalau bukan di sini, mungkin di sana. Bunyinya macam tidak terkawal.

9. Bagi saya itulah titik kegagalan besar PH. Bagaimana, dan berapa lama kamu boleh berdiri di atas tapak yang dipenuhi duri?

10. Ekonomi juga satu hal. Selama 22 bulan orang biasa macam saya yang tidak ada lambakan projek, tidak ada duit berjuta disorok di rumah, tidak bergaji tetap yang boleh main cucuk-cucuk, menjadi tidak tentu arah. Rantaian cari makan tiba-tiba putus.

11. Tetapi saya berpandangan masalah ekonomi ini kecil dibandingkan dengan yang saya sebut dalam perkara (7). Kalau betul-betul bersatu padu, tidak buang masa dengan dengan isu-isu sensitif yang bukan-bukan, fokus kepada soal perut dan mulut boleh dilipatgandakan.

12. Dalam keadaan itulah apabila terjadinya ‘Langkah Sheraton’, saya bertepuk sorak. Bagi saya ia bukan khianat tetapi tindakan untuk menyelamat. Saya tak pedulilah kerajaan selepas itu berstatus tebuk atap atau tebuk tingkap. Yang penting ia memberi harapan baharu selepas 22 bulan bermain dengan harapan palsu.

13. Dan PN sebenarnya tidak mengecewakan. Walaupun ia sempat berjalan elok hanya kurang dari tiga minggu sebelum diserang Covid-19, kerajaan yang dikatakan rapuh itu membolehkan saya tidur lena untuk seketika. Kalaupun hanya dua tiga peratus, ia tetap lebih baik daripada PH.

14. PN bergerak dalam suasana peperangan. Bukan perang kecil, tetapi perang besar yang tiada siapa pun pernah berpengalaman melaluinya. Tidak cukup dengan itu PN juga diasak oleh oportunis politik yang tidak henti-henti cuba mengeksploitasi keadaan dengan meletakkan kepentingan mereka di hadapan kepentingan rakyat dan negara.

15. Namun dalam keadaan begitu PN masih mampu memberikan rakyat sedikit kelegaan, membina sedikit harapan dan menentukan bahawa tiada antara mereka yang mati tak makan. Yang mati sebab terlebih makan mungkin ada.

16. Cuba bayangkan jika tiada Covid-19, tiada PKP dan siri-sirinya, tiada musang, lalat dan langau politik yang bukan-bukan, apa agaknya yang PN mampu buat? Jawapannya, mungkin apa sahaja yang PH sekadar mampu berjanji dan mampu angan-angankan!

 

Oleh:|

Tulus Budiman

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top