Langkah Mohamaddin Bantut Usaha Warisan Lebar Sayap Ke Semenanjung – Penganalisis

mohammadin.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Tindakan seorang Ahli Parlimen Warisan keluar parti akan menjejaskan rancangan parti itu untuk melebarkan sayapnya ke Semenanjung, kata penganalisis politik.

Penganalisis berkata, reputasi Warisan tercalar dengan kegagalan presidennya Shafie Apdal mengekalkan keutuhan parti berusia lima tahun itu ketika parti-parti lain cuba menerjahnya.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah Lee Kuok Tiung berkata, tindakan Ahli Parlimen Lahad Datu Mohamaddin Ketapi itu akan menjadi tamparan kepada cita-cita Warisan untuk berkembang dan bekerjasama dengan parti MUDA pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mohamaddin adalah ADUN ketiga dan Ahli Parlimen pertama keluar parti itu sejak pilihan raya umum (PRU) 2018.

Tindakan beliau itu akan menjejaskan kredibiliti kepimpinan parti, menurut Lee.

“Tanggapan yang diberikan oleh Mohamaddin adalah seolah-olah wujud konflik dalaman dalam bahagiannya (Lahad Datu) yang mengakibatkan beliau meninggalkan parti.”

Dakwaan pertelingkahan dalaman menimbulkan tanggapan ada yang tidak kena dalam parti, katanya.

Bagaimanapun, Warisan tidak akan berdepan masalah mencari pengganti Mohamaddin kerana Lahad Datu, yang terletak di pantai timur Sabah, dianggap sebagai kubu kuat Warisan dan parti itu masih kuat sebagai pembangkang, kata Lee.

Mohamaddin berkata, beliau akan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Beliau mendakwa terdapat usaha ahli di bahagian Lahad Datu untuk menggantikannya.

Apabila didesak untuk mendedahkan sama ada individu itu termasuk Yusof Apdal – adik Shafie – Mohamaddin menyebut ADUN Tungku Assafal P Alian barangkali menjadi punca (Tungku adalah salah satu daripada empat kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Lahad Datu).

Penganalisis sosiopolitik Awang Azman Pawi bersetuju bahawa ini akan menjadi tamparan bagi kepimpinan Shafie, terutamanya membabitkan aspirasi Warisan untuk bertapak di Semenanjung.

Warisan juga akan berdepan ancaman daripada lebih ramai wakil rakyat yang keluar parti selagi tidak mencapai persefahaman politik dengan kerajaan.

Katanya, wakil pembangkang yang memilih untuk keluar parti sering menggunakan alasan tidak mendapat dana pembangunan yang mencukupi untuk kawasan mereka.

Lee berkata, GRS kini mempunyai peluang untuk menembusi benteng Warisan, dengan Mohammaddin berada di pihak gabungan longgar yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), serta Parti Bersatu Sabah.

“Namun GRS hanya menyukarkan peluang Warisan untuk menang di pantai timur jika semua parti dalam gabungan itu bekerja sebagai satu entiti.

“Kerjasama Umno dan Bersatu di peringkat kebangsaan lemah dan ia boleh menjejaskan hubungan di Sabah juga,” katanya. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top