Laluan Kereta Api Trans Borneo perlu libatkan pantai timur Sabah – Shafie Apdal

shafie.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berharap laluan Projek Kereta Api Trans Borneo dapat dinilai semula supaya ia dapat melibatkan rangkaian laluan ke pantai timur negeri ini khususnya Tawau.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata Projek Kereta Api Trans Borneo melibatkan laluan Kuching, Sarawak, Brunei dan Kota Kinabalu, Sabah selain Kalimantan, Indonesia itu sangat baik untuk melonjakkan ekonomi kawasan terlibat.

Beliau berkata projek berkenaan merupakan pemangkin dalam membangunkan ekonomi kawasan Kalimantan, Sarawak, Brunei dan Sabah, tetapi laluan kereta api itu hanya terbatas sehingga Kota Kinabalu sahaja.

“Agak mengecewakan bahawa Pantai Timur Sabah ditinggalkan dalam pembangunan ini kerana dahulunya memang wujud rancangan kerajaan untuk membangunkan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Tawau.

“CIQ berkenaan menghubungkan Kalimantan Utara dengan kawasan di pantai timur seperti Tawau yang kaya dengan sumber alam serta sektor pelancongan,” katanya menerusi rakaman audio dikongsikan kepada media di sini pada Isnin.

Media sebelum ini melaporkan Brunergy Utama Sdn Bhd, sebuah syarikat berpangkalan di Brunei akan memulakan projek Kereta Api Trans Borneo, dicadangkan dilaksanakan dalam dua fasa melibatkan laluan sepanjang 1,620 kilometer.

Fasa pertama akan menghubungkan bandar-bandar dari barat ke pantai Timur bermula di Pontianak, Kalimantan Barat dan berakhir di Kota Kinabalu, Sabah manakala fasa dua pula melibatkan Kalimantan Utara dan Timur menghubungkan laluan utama dengan Samarinda dan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara.

Mohd Shafie berkata pembangunan berkenaan bukan semata-mata untuk kebaikan Sabah sahaja tetapi juga Malaysia secara keseluruhan.

“Trans Borneo juga bukan untuk kepentingan pantai timur Sabah sahaja tetapi kepentingan Malaysia. Kita boleh manfaatkan sektor pelancongan, sumber alam dan Kalabakan, Tawau adalah kawasan penanaman kelapa sawit yang terbesar,” katanya.

Beliau akan membangkitkan perkara itu di Parlimen dan kepada kerajaan Persekutuan selepas ini supaya Sabah boleh mempunyai nilai tambah dalam membangunkan negeri ini, dan beliau berharap pihak berwajib dapat memainkan peranan memperkasa kemudahan tersebut. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top