Laksana usaha jangka pendek, panjang bantu tingkat hasil tangkapan nelayan Teluk Marudu

Dr-Jeffrey.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan telah dan sedang mengambil beberapa usaha jangka pendek dan panjang bagi membantu meningkatkan kuantiti hasil tangkapan nelayan di kawasan perairan Teluk Marudu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata antara strategi jangka pendek adalah Pemberian Subsidi Minyak Diesel dan Petrol bagi membolehkan nelayan mendapat harga belian minyak subsidi dan seterusnya menggalakkan nelayan menjalankan aktiviti perikanan di kawasan baharu yang mempunyai populasi ikan yang banyak.

Katanya, Jabatan Perikanan Sabah turut melaksanakan pengawalan dalam kaedah penangkapan ikan melalui pengeluaran lesen-lesen menangkap ikan dan pemantauan terhadap nelayan-nelayan yang beroperasi di kawasan tersebut.

“Kementerian melalui KO-NELAYAN juga telah menyediakan pembiayaan kewangan kredit mikro di bawah Program Peningkatan Pendapatan Nelayan iaitu Skim Bantuan Nelayan (i-NELAYAN) untuk membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan di Teluk Marudu.

“Dari tahun 2021 hingga kini, seramai 12 orang nelayan di kawasan Teluk Marudu dan 29 orang nelayan di kawasan Pitas serta Pulau Banggi telah menyertai program i-NELAYAN. Program pembiayaan kewangan ini telah berjaya meningkatkan pendapatan para nelayan terbabit sekurang-kurangnya sebanyak 30 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda dalam Persidangan DUN Sabah di sini, pada Selasa.

Manakala bagi strategi jangka panjang, Jeffrey berkata kementeriannya melalui Jabatan Perikanan Sabah melaksanakan Program Pengembangan dan Perkhidmatan Perikanan Marin yang menyampaikan maklumat terkini mengenai sub-sektor perikanan tangkap kepada nelayan.

Jelasnya, program itu juga menawarkan pelbagai khidmat nasihat, kursus dan latihan in-situ kepada nelayan melalui program bimbingan nelayan.

“Strategi jangka panjang seterusnya ialah pelaksanaan Program Transformasi Sosio-Ekonomi Nelayan dan Penternak Miskin/Termiskin, Program Peningkatan Pendapatan Nelayan Setempat dan Bantuan Nelayan Pesisir Pantai.

“Program-program ini menyasarkan Ketua Isi Rumah Termiskin (KIRT) yang berdaftar. Pakej yang ditawarkan ialah kursus dan satu set peralatan menangkap ikan seperti Kotak Ikan Berinsulasi, Bot Gentian Kaca, Enjin Sangkut dan Pukat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Projek Pemuliharaan Sumber Perikanan Demersal dan Projek Pembangunan dan Pengurusan Sumber Perikanan Melalui Pembinaan Tukun di Sabah juga antara strategi jangka panjang untuk meningkatkan produktiviti biologi perairan persekitaran iaitu melalui pewujudan tukun-tukun tiruan.

Katanya, sejumlah 1,910 buah tukun tiruan telah dilabuhkan di 88 lokasi di seluruh Sabah sejak tahun 2008.

Jelasnya, dengan peningkatan produktiviti biologi di kawasan tukun tiruan diharapkan golongan nelayan akan dapat menikmati penambahan hasil tangkapan ikan.

Katanya, beberapa strategi jangka panjang lain termasuk pelaksanaan Projek Peningkatan Sumber Perikanan Pelagik, pelaksanaan kawasan larangan operasi menangkap ikan untuk kapal-kapal perikanan komersial, pelaksanaan rondaan berkala bagi memantau dan mengawasi perairan selain pelaksanaan latihan dan penggunaan aplikasi Sabah Mobile Artisanal Remort Technology (e-SMART) kepada nelayan Teluk Marudu oleh KO-NELAYAN. – SNT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top