Laksana PRU Demi Pulihkan Ekonomi? Majoriti Netizen Tolak Cadangan Zahid

Tinjauan-awani.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak wajar disegerakan atas alasan untuk memulihkan ekonomi negara.

Itu pandangan majoriti yang dikongsikan oleh 74,699 responden menerusi tinjauan pendapat di tiga laman sosial Astro AWANI meliputi Twitter, Telegram dan YouTube.

Tinjauan ini dilakukan susulan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan kerajaan yang stabil adalah penting dalam memulihkan ekonomi negara terutama dalam menarik dan mengekalkan pelaburan langsung asing (FDI).

Sejumlah 44,948 responden meliputi 60 peratus menyatakan tidak bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid itu.

Mereka yang tidak bersetuju ini kebanyakannya bimbang COVID-19 akan semakin menular selepas mengambil iktibar apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu.

“Pulihkan ekonomi setuju, tapi mengadakan PRU15 tak setuju. Tak nampak ke hari ini kes berterabur? Masih lagi nak mengadakan PRU15?

“Tak ambil iktibar ke dari PRN Sabah? Kalau rasa macam nak kes berterabur di seluruh Malaysia sehingga tiada zon hijau, dipersilakan untuk buat PRU sekarang,” memetik pandangan yang diutarakan oleh Zulqarnain Shaiful Bahrin menerusi ruang komen di Telegram Astro AWANI.

Pemilik akaun dikenali sebagai Funky Diva berpandangan, ada pelbagai cara lain untuk memulihkan ekonomi.

“Banyak cara lain lagi untuk pulihkan ekonomi! PRU mendatangkan bala,” katanya.

Sementara pemilik akaun Najib Faik pula akui, sekiranya semua Ahli Parlimen memberi sokongan kepada kerajaan sekarang, sudah tentu ekonomi akan berjaya dipulihkan.

“Kalau semua Ahli Parlimen bagi sokongan dekat kerajaan sekarang, mesti ekonomi akan pulih. Masalahnya mereka yang gila kuasa, lepas itu nak bagi alasan kena buat PRU untuk pulihkan ekonomi,” luahnya.

Dalam pada itu, 16,628 responden merangkumi 22 peratus memilih opsyen tidak peduli.

Sementara 18 peratus, bersamaan 13,123 responden memilih bersetuju dengan cadangan Ahmad Zahid itu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top