Lakar Sejarah, dua pendaki dari Kiulu tawan puncak Mera di Pergunungan Himalaya

IMG-20240103-WA0014.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Dua pendaki dari Kiulu – Florensia Grace Gainus dan Shartner liew telah mencipta sejarah apabila berjaya menawan puncak Mera di Pergunungan Himalaya, Nepal baru-baru ini.

Mereka berdua bersama rakan karib Justin Paul Tamin yang bertindak sebagai ketua rombongan memulakan pendakian yang mencabar itu pada 21 Disember lalu dan berjaya sampai ke puncak Mera secara berperingkat pada pagi 25 Disember, sekali gus menyambut Krismas di puncak yang beraltitude tinggi.

Kegembiraan mereka menawan puncak Mera berganda terutama Florensia yang kebetulan menyambut hari jadi pada 25 Disember.

Lebih manis, kejayaan itu merupakan hadiah simbolik yang amat berharga bagi Florensia yang pastinya menjadi kenangan sepanjang zaman.

“Puji Tuhan, kami bertiga selamat sampai ke puncak Gunung Mera.

“Pendakian amat mencabar sekali berbanding dengan pendakian Gunung Kinabalu. Tetapi saya katakan pada diri saya sendiri….lakukan yang terbaik dan jangan putus asa. Berbekalkan semangat kental akhirnya kami bertiga berjaya sampai puncak Mera,” kata Florensia, setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini hari ini.

Florensia disambut oleh keluarganya termasuk ibunya Agnes Timah Dusip yang begitu “risau” sehinggalah anak perempuannya menghubungi melalui Whatshap selamat turun ke base camp.

Shartner turut gembira atas kejayaan menunaikan impiannya untuk menawan puncak Mera.

“Sebelum ini, banyak cerita yang saya baca mengenai nasib pendaki yang tidak berjaya sampai ke puncak Mera atau maut ketika dalam perjalanan ke puncak, namun ia tidak mematahkan semangat untuk terus berjuang ke destinasi puncak Mera.

“Selepas sehari melakukan pendakian dari base camp, tahap keyakinan saya untuk sampai ke puncak semakin meningkat…syukur tahap kesihatan saya baik, sekali gus memudahkan perjalanan mendaki Gunung Mera,” katanya.

Puncak Mera atau Mera Peak memiliki ketinggian 6,479 meter.

Selain Puncak Mera, Pergunungan Himalaya juga memiliki Gunung Everest yang tertinggi di dunia dengan ketinggian 8.849 meter atau 29.032 kaki.

Justin yang berasal dari Membakut berkata mereka bersyukur berjaya menawan puncak gunung itu selepas menempuh pelbagai halangan dan cabaran.

“Gunung Mera Peak adalah antara gunung yang sangat popular dalam kalangan pendaki di seluruh dunia kerana cuaca yang sangat ekstrim dan bentuk muka bumi yang sukar.

“Bak kata pepatah…di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” katanya.

Ketiga-tiga mereka menerima sijil kejayaan mendaki Gunung Mera daripada Nepal Mountaineering Association (NMA) & Everest Trekking Routes Pvt Ltd.

Menurut rekod NMA, ketiga-tiga pendaki Sabah itu merupakan kumpulan pertama dari Pulau Borneo yang berjaya mendaki Puncak Mera, Nepal.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top