Lahad Datu Kini Miliki Terminal Bas Dan Teksi

teminal-lahad-datu.jpg
Kongsi Bersama

LAHAD DATU: Pembukaan terminal bas dan teksi ‘First Palm City Centre’ (FPCC) di daerah ini mampu memenuhi keperluan masyarakat dan pelancong yang mahu menggunakan kemudahan itu.

Terminal yang juga dikenali Lahad Datu Sentral itu menjadikan sistem perkhidmatan pengangkutan awam di daerah ini lebih teratur dan selesa.

Ia adalah usaha sama syarikat Titijaya Land Berhad dan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah.

FPCC adalah projek pembangunan bercampur yang terdiri daripada kedai komersial, runcit, dan pasar raya Econsave di atas tanah seluas 58.8 ekar di pusat bandar.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berharap terminal itu dapat dimanfaat sepenuhnya oleh pengusaha pengangkutan awam di daerah ini.

“Selain itu, terminal ini akan memberikan keselesaan kepada semua pengguna perkhidmatan bas dan teksi termasuk pelancong ke daerah ini.

“Kemudahan itu juga selaras dengan salah satu teras utama pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun ketika merasmikan terminal bas dan teksi FPCC, di sini hari ini.

Katanya, kedudukan Lahad Datu yang terletak diantara laluan yang menghubungkan Tawau, Kunak, Sandakan, menjadikan terminal ini adalah hab pengangkutan di sini.

“Kemudahan yang disediakan kerajaan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna bas dan teksi malah ia menjadikan sistem pengangkutan daerah yang lebih teratur.

“Seperti yang kita tahu, Lahad Datu juga antara daerah yang mempunyai banyak tempat tarikan pelancong seperti Hutan Simpan Tabin, Lembah Danum serta Gua Madai selain pantai dan air terjun yang cantik.

“Justeru, sudah tentu terminal ini akan menyediakan kemudahan kepada pelancong yang pergi ke tempat tersebut sekali gus merancakkan semula sektor pelancongan yang sebelum ini terjejas akibat wabak COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya Land Berhad, Lim Poh Yit berkata terminal itu adalah komponen penting FPCC yang merupakan perkhidmatan pengangkutan awam jarak jauh.

“Saya yakin ini akan dihargai dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk di sini kerana ia mengurangkan masa perjalanan ke destinasi lain di seluruh Sabah.

“Terminal itu sudah pasti memberi kemudahan kepada penduduk setempat, menambah baik sistem perhubungan darat dan memacu pelancongan di daerah ini,” katanya.

Katanya, terminal itu juga akan menjadi pusat sehenti kerana lokasinya berdekatan dengan Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu dan lapangan terbang.

Lim turut memaklumkan Titijaya Land Berhad turut menumpukan kepada bangunan kedai komersialnya yang baru siap di sekitar kawasan terminal.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top