LAHAD DATU: Seekor lagi buaya besar bersaiz luar biasa ditembak mati di Kampung Remang di sini malam semalam.
Buaya itu ditemui di belakang rumah seorang penduduk kampung berkenaan. Ia merupakan buaya kedua bersaiz ‘raksasa’ yang ditembak mati di daerah ini dalam tempoh empat hari. Pada 11 Disember seekor reptilia itu ditembak mati dengan tujuh das tembakan di perkampungan air Kampung Desa Bajau. Buaya itu seberat 1.2 tan dengan ukuran panjangnya 4.5m dari muncung ke ekor.
Buaya yang ditembak malam semalam pula berukuran lebih besar iaitu 4.8m panjang dan kira-kira 1m lebar. Pihak berkuasa bagaimanapun tidak menyatakan beratnya.
“Buaya ini hampir sama saiznya dengan seekor di Kampung Desa Bajau,” kata pegawai Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu, Silvester Saimin semalam.
Beliau berkata pihak berkuasa bergegas ke Kampung Remang selepas dimaklumkan oleh penduduk kampung mengenai kehadiran buaya itu.
“Apabila sampai di tempat itu, kami menemui buaya itu di belakang rumah seorang penduduk.
“Lapan das tembakan dilepaskan ke arahnya pada jam 10.37 malam,” katanya sambil menambah semua tembakan mengenai reptilia itu.
Bangkai buaya itu kemudiannya dibawa ke premis jabatan untuk dilupuskan.