Lagenda Bola Sepak Asean Beraksi Di Stadium Likas 16 September Ini

bola-asean-2.jpg

Peter (tengah) selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penganjur Kejohanan Pesta Bola Merdeka Sabah Piala SMJ.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Lagenda bola sepak Asean bakal menghangatkan Kejohanan Pesta Bola Merdeka Sabah Piala SMJ yang akan diadakan pada 16 September ini.

Pengerusi Penganjur Bersama Kejohanan, Datuk Peter Anthony berkata, seramai lapan pasukan akan berentap dalam kejohanan yang berlangsung dari 16 hingga 18 September itu termasuk Sabah, Sabah SMJ, Sarawak, Johor, Selangor, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Kejohanan itu akan menyaksikan lagenda bola sepak seperti bekas pemain bola sepak Singapura, Fandi Ahmad; pemain bola sepak kebangsaan, Yap Wai Loon dan bekas penyerang bola sepak Selangor, Bambang Pamungkas.

Bekas pemain Sabah seperti Jelius Ating, Burhan Ajui, Harun Laban dan Matlan Marjan juga akan turun beraksi di Stadium Likas.

Kejohanan yang tidak mengenakan sebarang bayaran untuk tiket masuk itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Ketua Menteri, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dan Kelab Bola Sepak SS90 Sabah.

Kejohanan bola sepak itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM358,000. Johan akan menerima wang tunai RM120,000 dan tempat terakhir akan menerima wang tunai RM20,000.

“Ini merupakan kejohanan terbesar yang kita pernah anjurkan. Sebelum ini, kita pernah anjurkan kejohanan tapi, tidaklah sebesar ini.

“Saya percaya kejohanan ini memberi peluang kepada peminat bola sepak untuk melepas rindu melihat bekas pemain kegemaran mereka beraksi di padang.

“Kesemua lapan pasukan ini telah mengesahkan penyertaan mereka dan proses cabut undi untuk perlawanan itu akan diadakan pada minggu hadapan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penganjur Kejohanan Pesta Bola Merdeka Sabah Piala SMJ, pada Khamis.

Sepak mula kejohanan itu akan diadakan pada jam 7 malam, 16 September di Stadium Likas dan majlis perasmian akan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hadir sama ialah Pengerusi Penganjur Bersama, Datuk Abdul Kassim Razali dan Timbalan Pengerusi Penganjur, Henry Saimpon.

Mengulas lanjut katanya, kejohanan itu diadakan secara percuma dan orang ramai dinasihatkan untuk datang ke stadium lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.

Orang ramai turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah pada kejohanan tersebut.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top