KUALA LUMPUR: Seorang bekas menteri persekutuan berkata, Putrajaya perlu melihat Sabah sebagai berpotensi untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan melabur lebih banyak di negeri itu.
Datuk Darell Leiking berkata, negeri Malaysia Timur itu tidak sepatutnya hanya dilihat sebagai tarikan pelancongan yang kaya dengan sumber asli termasuk minyak dan gas.
Jelas beliau, Sabah merupakan negeri keenam terbesar melibatkan sumbangan kepada KDNK keseluruhan iaitu, sebanyak RM84 bilion kepada pendapatan negara.
“Sekiranya kerajaan persekutuan sanggup ‘melabur’ di Sabah, saya percaya kita boleh menjadi penyumbang ketiga terbesar pada masa depan.
“Ini akan memberi impak positif kepada ekonomi negara dan keupayaan untuk menarik pelaburan asing,” kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu kepada FMT.
Ahli Parlimen Penampang itu berkata, semasa Pakatan Harapan memerintah, sejumlah RM18.2 bilion pelaburan diberi kepada negeri itu, iaitu dua kali ganda daripada jumlah antara 2013 dan 2018.
Katanya, lokasi negeri itu adalah strategik kerana terletak dalam Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan Laut China Selatan.
Sehubungan itu, Sabah berpotensi menjadi “hab halal” dan pembekal perkhidmatan data awan ke Manila.
Leiking berkata, kerajaan juga boleh memanfaatkan lokasi Sabah dan membina pelabuhan moden di Kudat yang akan memberi manfaat kepada industri logistik.
“Kerajaan perlu mengambil peluang ini sementara masih boleh. Jangan tunggu sehingga terlambat.” – FMT