Labuan Yang Pertama Capai Imuniti Kelompok

labuan-imuniti.jpeg
Kongsi Bersama

LABUAN: Labuan semalam selesai memvaksinasi penuh 80 peratus populasi dewasa, menjadikan pulau bebas cukai itu Wilayah Persekutuan dan negeri pertama di Malaysia mencapai imuniti kelompok bagi membendung penularan COVID-19.

Wilayah Persekutuan itu telah memberi suntikan vaksin kepada 54,800 daripada 68,500 penduduk dewasa yang disenaraikan sebagai layak untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Labuan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Labuan menyifatkan program ini sebagai tugas yang sukar tetapi mengakui kerjasama berpasukan yang hebat telah membuahkan kejayaan.

Pengerusi CITF Labuan Rithuan Ismail berkata sebanyak 54,800 (80 peratus) daripada jumlah populasi yang layak untuk divaksin, telah menerima dua dos vaksin.

“Kami gembira dapat mencapai imuniti kelompok tiga hari lebih awal daripada tarikh sasaran iaitu 30 Julai.

“Pencapaian itu adalah kejayaan penduduk di pulau ini yang peka terhadap kepentingan vaksinasi COVID-19, serta kerja berpasukan daripada pasukan petugas khas dan masyarakat sebagai sukarelawan yang dinamakan Privo Team (Prihatin Volunteers).

“Jumlah penduduk yang divaksin pada Jun kurang daripada 14,000 tetapi meningkat dengan drastik kepada 40,800 dalam masa 37 hari dan (terus meningkat) hari ini,” katanya kepada Bernama selepas menyaksikan seorang individu menerima suntikan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech, bagi melengkapkan imunisasi terhadap 54,800 orang, di pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan di sini.

PICK Labuan dilancarkan pada 27 Feb lepas oleh Senator Datuk Bashir Alias yang menjadi individu pertama di Labuan menerima dos pertama vaksin.

Secara keseluruhannya, program vaksinasi di Labuan berjalan lancar walaupun terdapat peningkatan jumlah kes dan kemunculan varian Delta.

Setakat kelmarin, Labuan merekodkan jumlah kumulatif 9,607 kes COVID-19 dan 146 kematian akibat wabak itu. Lapan kes dicatat kelmarin namun tiada kematian dilaporkan.

CITF Labuan merekodkan 95.7 peratus atau 65,521 daripada 68,500 populasi dewasa menerima suntikan dos pertama vaksin setakat semalam.

Bagi mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok, CITF dan JPBN Labuan (diketuai oleh personel Jabatan Kesihatan Labuan) telah memperluaskan program itu dengan menjalankan vaksinasi dari rumah ke rumah untuk memberikan suntikan kepada orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang terlantar sakit.

“Kami juga melaksanakan vaksinasi pandu lalu dan ‘walk-in’ yang dikendalikan oleh Majlis Perwakilan Penduduk, menyaksikan ramai penduduk dari 27 kampung datang ke PPV,” katanya dan menambah Labuan mempunyai sembilan PPV termasuk satu di terminal feri antarabangsa untuk pekerja dalam sektor perkapalan, serta minyak dan gas.

 

JPBN dan CITF Labuan yang diketuai oleh Jabatan Kesihatan turut disertai wakil daripada Perbadanan Labuan, Majlis Keselamatan Negara, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

 

Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata penduduk Labuan harus bersedia untuk hidup dengan COVID-19 dan yang paling penting, perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

 

“Sekurang-kurangnya satu ke dua tahun kita akan hidup dengan pandemik ini. Kita perlu memastikan ahli keluarga dan rakan-rakan telah divaksin penuh bagi melindungi diri kita daripada COVID-19,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top