Labuan Mulakan Vaksinasi Bergerak Untuk Golongan Kurang Upaya, Pesakit Terlantar

vaksinasi-labuan.jpeg
Kongsi Bersama

LABUAN: Petugas kesihatan Labuan semalam memulakan vaksinasi bergerak COVID-19 bagi golongan kurang upaya (OKU) dan pesakit yang terlantar di katil.

Penerima pertama ialah Mohd Noor Khairullah@Putra, 32, dari Kampung Ganggarak yang didiagnosis menghidap autisme manakala lima lagi individu ialah dari Kampung Sungai Bangat, Rancha-Rancha dan Kiamsam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata program imunisasi COVID-19 Labuan terus dipanjangkan bukan hanya kepada golongan OKU malah warga emas terutama mereka dengan morbiditi.

“Kami sedang melipatgandakan usaha bagi memastikan (sekiranya mungkin) semua penduduk Labuan mendapat vaksin dan jika mereka bersedia untuk vaksinasi, kami akan melakukannya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata golongan OKU adalah terdedah kepada komplikasi penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin itu dan semua usaha perlu dilakukan bagi memastikan mereka mendapat akses yang adil kepada imunisasi.

Bercakap kepada Bernama selepas itu, bapa Mohd Noor Khairullah iaitu Datuk Khalid Abd Ghani berkata pelaksanaan vaksinasi secara bergerak terhadap anaknya adalah sesuatu yang tidak dijangka dan beliau mengucapkan terima kasih kepada petugas kesihatan atas perkhidmatan tersebut.

“Kami menerima panggilan daripada seorang doktor yang memaklumkan bahawa satu pasukan bergerak akan datang ke rumah saya untuk memvaksin anak lelaki saya yang autistik.

“Saya dan isteri berasa amat terharu kerana kami begitu terjejas dari segi emosi akibat pandemik ini. Terima kasih kepada pasukan bergerak yang prihatin kerana vaksin itu amat diperlukan oleh anak lelaki saya,” katanya.

Labuan, pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Malaysia, telah memberikan vaksin kepada 81.1 peratus daripada jumlah populasi dewasa yang layak di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan setakat Isnin lepas. – BORNEO TODAY


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top