Labuan FSA Rangka Pelan Strategik 5 tahun

Nik-Mohamed-Din-Labuan.jpg
Kongsi Bersama

LABUAN:  Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) sedang merangka Pelan Strategik Lima Tahun 2022-2026 yang bertemakan Memacu Semula Perniagaan dan Mempertingkat Kemampanan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan Sebagai Pusat Pilihan Asia.

Ketua Pengarah Labuan FSA Nik Mohamed Din Nik Musa berkata, usaha itu adalah seiringan dengan perkembangan aliran pembangunan global yang menerimaguna teknologi kewangan (fintech) dan digitalisasi.

“Salah satu teras strategik itu adalah untuk memperluas kedudukan kewangan Islam di rantau ini, menumpukan penyelesaian inovatif perniagaan digital termasuk penerapan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus atau ESG serta agenda kewangan Islam yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya di Seminar Pasaran Kewangan Islam Antarabangsa (IIFM)-Perbadanan Pengurusan Likuiditi Islam Antarabangsa (IILM) Mengenai Pembaharuan Kadar Penanda Aras Global – Cabaran dan Penyelesaian Untuk Industri Kewangan Islam yang diadakan secara maya di sini, semalam.

Menurut Nik Mohamed Din, pada tahun lalu, Labuan FSA mengeluarkan rangka kerja mengenai perbankan digital yang menyaksikan pewujudan lebih 60 perkhidmatan kewangan digital di wilayah tersebut.

“Kita menjangkakan inisiatif-insiatif itu akan terus memperkasa Labuan sebagai bidang kuasa pilihan yang menawarkan penyelesaian lebih meluas dan berteraskan digital yang berkualiti serta patuh Syariah,” katanya.

Beliau menjelaskan, sebagai pusat kewangan pertengahan pesisir, Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan atau Labuan IBFC, berperanan menawarkan bidang kuasa yang dikawal selia serta dikendalikan dengan baik untuk kemudahan pelabur global dan perniagaan antarabangsa selain kepastian dalam persekitaran operasi mata wang yang neutral.

“Oleh kerana kebanyakan bank-bank di Labuan ini merupakan bank antarabangsa, ia adalah bebas dan dibenarkan menggunakan Penanda Aras Kadar Bebas Risiko (RFR) yang menepati pilihan pelanggan dan cadangan perniagaan masing-masing selagi mereka kekal akur terhadap dasar piawaian antarabangsa yang ditetapkan,” katanya.

Bagaimanapun, Nik Mohamed Din berkata, transisi Kadar Tawaran Antara Bank (IBOR) berpotensi memberi kesan ke atas bank-bank dan institusi kewangan di Labuan dalam keadaan-keadaan tertentu seperti :

(i) Mereka berkemungkinan perlu membincangkan semula perjanjian kontrak sedia ada berdasarkan kadar yang digunakan oleh rakan setara lain;

(ii) Perbezaan dari segi kadar sandaran adalah hanya untuk penyelesaian jangka pendek dan boleh meningkatkan risiko, dan

(iii) Peningkatan kos operasi terutama dalam aspek teknologi maklumat dan kos keperluan peralatan.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata, pasaran kewangan global juga telah bersetuju untuk menggunakan RFR alternatif yang disifatkan lebih memaparkan keadaan atau persekitaran pasaran terbabit.

Menurutnya, bagi Malaysia, pihak Majlis Penasihat Syariah (SAC) Bank Negara Malaysia memutuskan bahawa penggunaan RFR sebagai kadar penanda aras alternatif terhadap IBOR atau sebagai alternatif kadar penanda aras sandaran selepas penamatan kekal IBOR, adalah dibenarkan dan berdasarkan kepada pertimbangan seperti berikut:

(i) Metodologi pengkompaunan adalah kaedah aritmetik bagi menentukan kadar tempoh yang tidak menjejaskan pematuhan ketetapan Syariah bagi satu-satu urus niaga, dan

(ii) Ketidakpastian atau (gharar) yang berlaku dalam penggunaan purata RFR atau kadar tempoh berasaskan pandangan ke belakang dengan pembayaran dikurangkan menerusi penentuan dan pendedahan harga siling dan formula pengiraan pembayaran berkala kepada pelanggan pada awal kontrak terbabit. – BERNAMA


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top